Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas CEO 1MDB bukan saksi boleh dipercayai, kata peguam Najib

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa bekas CEO 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman bukanlah seorang saksi yang boleh dipercayai kerana keterangannya tidak konsisten dan dipenuhi dengan percanggahan. 

Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mewakili bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata saksi pendakwaan ke-10 itu sengaja mengambil tindakan untuk menyembunyikan kerugian kewangan daripada KPMG Malaysia dan memainkan peranan utama dalam memastikan perkhidmatan firma audit itu ditamatkan.

“Yang Arif, Mohd Hazem malah mengakui bahawa usaha telah diambil bagi menghalang KPMG daripada mengetahui keadaan kewangan sebenar 1MDB. Dia mengakui pengurusan kanan termasuk dirinya telah terlibat dalam memanipulasi dokumen kewangan dan merahsiakan maklumat penting bagi menyembunyikan kerugian besar yang dialami.

“Mohd Hazem juga mengakui bahawa keputusan untuk menggantikan KPMG (dengan Deloitte) adalah strategik dan bertujuan membawa masuk juruaudit yang akan lebih mematuhi arahan pihak pengurusan dan kurang berkemungkinan mendedahkan percanggahan kewangan,” katanya.

Dia berkata demikian ketika berhujah di hadapan hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah selepas pendakwaan menutup kesnya.

Wan Azwan Aiman juga berkata keterangan saksi pendakwaan ke-47 iaitu penganalisis Bank Negara Adam Ariff Mohd Roslan tidak boleh diterima kerana dia bukan saksi fakta atau pakar.

"Adam Ariff tidak mempunyai pengetahuan secara langsung dan tidak memainkan sebarang peranan dalam siasatan kes ini yang menjustifikasikan dia dipanggil sebagai saksi," katanya. 

Najib, 71, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB di Cawangan AmIslamik Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 hingga 19 Dis 2014.

Dia turut berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang dan di bank yang sama antara 22 Mac hingga 30 Ogos 2013.

Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Perbicaraan bersambung esok.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS