Paling Popular
Terkini
story images
story images
5

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota bagi menentukan siapakah wakil rakyat baru di kawasan itu bakal diketahui malam ini.

Malaysiakini membawakan laporan secara langsung keputusan PRK berkenaan.


9.25 malam: Berikut keputusan rasmi:

SYED HUSSIEN SYED ABDULLAH (BN-UMNO) - 27,995  
Mohamad Haizan Jaafar (PN-Bersatu) - 7,347

Jumlah Undi: 35,342  
Peratus: 53.84 %
Undi ditolak: 339  
Kertas undi tak dikembalikan - 24  
Majoriti: 20,648  


8.20 malam: Pengarah kempen PRK PN Azmin Ali berkata sokongan terhadap gabungannya tidak berkurangan.

Jelasnya, ini berdasarkan jumlah undi yang diterima PN pada PRK ini berbanding pilihan raya negeri lalu.

"Kami juga ingin berkongsi petang ini bahawa sokongan yang diterima PN adalah baik, dan kami melihat bahawa asas pengundi tidak berubah atau merosot berbanding pilihan raya negeri lepas," katanya pada sidang media di pusat operasi PN di Jalan Dahlia di Kampung Melayu.

Dia juga berkata pihaknya menerima keputusan pengundi Mahkota.

Tambahnya, PN telah melakukan yang terbaik dan calonnya Haizan menerima sambutan hangat daripada pengundi.

Azmin menuduh Umno menggunakan jentera kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan untuk meraih sokongan dalam PRK kali ini.

Beliau seterusnya menyorot kadar keluar mengundi yang rendah, yang menurutnya mesti dipandang serius oleh semua pihak.


7.50 malam - Prestasi PN dalam PRK Mahkota merosot berbanding pada PRU ke-15.

Tanpa mengira undi awal dan pos, PN memperoleh 6,134 undi hari ini mengikut keputusan tidak rasmi.

Sebagai perbandingan, semasa PRU15 dalam perebutan kerusi Parlimen Kluang, PN memperoleh 8,750 undi. Ini menunjukkan penurunan 29.8 peratus undi.


7.35 malam - Di sebalik kemenangan besar BN, terdapat petunjuk ketara bahawa ramai pengundi Cina tidak keluar mengundi di Mahkota.

Bandar Tengah ialah kawasan pilihan raya bukan Melayu terbesar di Mahkota, dengan kaum Cina membentuk hampir 80 peratus daripada pengundi.

Bagaimanapun, dengan kesemua enam peti undi dari daerah itu dikira, hanya 1,335 undi dibuang di situ mengikut keputusan tidak rasmi yang mana 1,212 daripadanya diraih BN.

Sebagai perbandingan, 1,925 undi telah dibuang di Bandar Tengah semasa pilihan raya umum ke-15, dengan Pakatan Harapan meraih 1,442 dan BN 349.

Tahap sokongan PN di Bandar Tengah secara relatifnya tidak berubah, daripada 129 pada PRU15 kepada 123 pada PRK hari ini.

Peratusan keluar mengundi juga lebih rendah di daerah bukan Melayu lain seperti Taman Lian Seng dan Indah Jaya.


7.25 malam - Prestasi BN dijangka menafikan tanggapan pengkritik dan ramalan keputusan PRK Mahkota.

Keputusan tidak rasmi daripada kem BN menunjukkan bahawa dalam kemenangan besar mereka, BN juga berpotensi menyapu bersih semua 18 daerah mengundi di Mahkota, selain undi awal dan undi pos.

Pada pilihan raya umum sebelum ini, semasa pengundian bagi kerusi parlimen Kluang, PN memenangi tiga daerah mengundi, Kampung Melayu I, Kampung Melayu II dan Sri Tengah, selain undi awal.

BN menawan daerah tersebut dengan selesa. BN juga nampaknya telah membalikkan kelebihan PN di Kampung Baru, sebuah daerah yang menjadi sasaran pakatan pembangkang.


7.15 malam - BN secara tidak rasmi memenangi pilihan raya kecil Mahkota.

Gabungan itu telah mengumpulkan lebih 19,000 undi mengikut keputusan tidak rasmi.

Ini jauh melebihi unjuran semasa untuk separuh undi yang perlu diraih berdasarkan peratusan keluar mengundi 55 peratus.


6 petang: Proses kiraan undi bermula dengan kesemua 20 pusat mengundi dan 109 saluran ditutup tepat jam 6 petang.

Keputusan tidak rasmi setakat ini menyaksikan BN mendahului dengan memperoleh 3,119 undi awal berbanding PN yang meraih 1,088 undi.

Undi awal kebanyakannya datang dari kem tentera Mahkota, antara yang terbesar di Johor.

Sementara itu, peratusan keluar mengundi untuk PRK hari ini nampaknya terjejas oleh cuaca.

Wartawan Malaysiakini yang melalui Taman Suria menemui paras air di beberapa bahagian melebihi paras buku lali.


PRK DUN Mahkota menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon kerajaan perpaduan, Syed Hussien Syed Abdullah dan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar.

DUN Mahkota memiliki 61,247 pemilih berdaftar dengan 56 peratus daripadanya terdiri daripada Melayu, diikuti Cina (34 peratus), dan India (lapan peratus).

Pengundian awal berlangsung pada 24 Sept lalu membabitkan 4,437 pengundi terdiri daripada anggota tentera, polis dan pasangan masing-masing.

Pengundi di DUN Mahkota terdiri daripada 56 peratus Melayu, diikuti Cina (34 peratus), dan India (lapan peratus).

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ramlan Harun berkata Keputusan PRK hari ini dijangka diketahui seawal jam 9 malam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
5
ADS