Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali antara 19 individu yang direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Selain Nasiruddin, mereka yang ditahan reman termasuk isterinya, anak-anaknya, serta anak-anak bekas pemimpin al-Arqam, Allahyarham Ashaari Mohammad.
Permohonan reman bagi individu-individu berumur antara 25 hingga 65 tahun itu telah dibawa di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini.
Mereka kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.
Kesemua 19 individu tersebut, yang terdiri daripada 12 lelaki dan tujuh wanita dipercayai pemimpin kanan GISBH, tiba di Kompleks Mahkamah Sultan Abdul Aziz Shah pada kira-kira jam 2.50 petang.
Terdahulu Ketua Polis Negara Razarudin Husain memaklumkan penahanan itu dibuat dalam serbuan awal pagi di empat unit kediaman di Bukit Bintang.
Laporan menunjukkan selain Nasiruddin, mereka yang ditahan termasuk isterinya, anak-anaknya, serta anak-anak bekas pemimpin al-Arqam, Allahyarham Ashaari Mohammad.
Sebelum ini, polis telah menyerbu 20 rumah amal yang didakwa dikendalikan oleh GISBH dan menyelamatkan hampir 400 kanak-kanak, dengan sebahagiannya dilaporkan menjadi mangsa liwat.
GISBH menafikan mereka mengendalikan rumah-rumah kebajikan yang diserbu itu dan pada awalnya juga menafikan kanak-kanak di bawah jagaan mereka telah didera.
Bagaimanapun, Nasiruddin kemudiannya mengakui mungkin terdapat "satu atau dua" kes liwat namun menegaskan bahawa hal ini tidak seharusnya menjejaskan keseluruhan organisasi.
GISBH ditubuhkan oleh Ashaari selepas al-Arqam diharamkan oleh kerajaan kerana mengamalkan ajaran sesat.