Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sijil halal: Kesilapan terjemahan, unsur sensasi punca kontroversi - Teresa
Diterbitkan:  Sep 16, 2024 11:44 AM
Dikemaskini: 3:44 AM

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkata kesalahan terjemahan oleh ChatGPT dan tumpuan media terhadap unsur sensasi adalah punca kenyataannya berkenaan cadangan mewajibkan sijil halal menjadi kontroversi.

Menurut wawancara bersama Mingguan Malaysia semalam, kesilapan terjemahan kenyataan asalnya dalam bahasa Mandarin kepada bahasa Melayu menyebabkan ada bahagian diterjemah menjadi “sensitif”.

“Sewaktu polis menyiasat saya, mereka menunjukkan saya laporan berita yang disiar oleh portal berita tempatan dan kenyataan asal saya daripada Facebook. Polis bertanya kepada saya dengan merujuk setiap perenggan dalam kenyataan itu. Saya pun berterus teranglah.

“Kenyataan asal saya sebenarnya dalam bahasa Mandarin dan saya mengarahkan pekerja saya yang berbangsa Melayu yang fasih bertutur dan menulis dalam Mandarin untuk menterjemahkan ke bahasa Melayu.

“Namun, disebabkan pekerja saya tergesa-gesa ke luar negeri menjalankan tugas, maka, kenyataan ini diterjemah menggunakan varian model bahasa ChatGPT kerana lebih cepat. 

“Namun, ada perkataan tertentu yang diterjemah ‘lari’ daripada maksud asal dan pihak kami pula kurang teliti dengan perkataan yang digunakan,” katanya seperti dipetik.

Perkataan ‘memalukan’

Menurut Kok lagi, ketika kenyataan itu diterjemah, dia sedang menjalani rawatan akupuntur yang memakan masa dua jam, justeru tidak dapat menyemak semula terjemahan itu dengan teliti.

“Saya hanya semak secara sekilas pandang. Lagi pun, saya meletakkan kepercayaan kepada pekerja kerana sudah lama berkhidmat,” katanya lagi.

Antara kesilapan terjemahan, menurut Kok, adalah langkah mewajibkan sijil halal akan “memalukan” negara, sedangkan dalam kenyataan asalnya, dia berkata ia berisiko “menjejaskan nama baik negara”.

“Bukannya ‘memalukan’ negara. Jadi, perkataan ‘memalukan’ ini yang diterjemah oleh ChatGPT.

“Malangnya, kenyataan terjemahan ChatGPT sudah diterbitkan dan dipetik oleh media,” dakwanya.

Namun, semakan Malaysiakini ke atas kenyataan asal Kok dalam bahasa Mandarin mendapati terjemahan bahasa Melayu dan penggunaan istilah “memalukan” adalah betul.

Berikut adalah terjemahan bahagian tersebut: “Jika pensijilan halal ini diwajibkan, ia bukan sahaja akan mencetuskan reaksi negatif dalam negara, malah mungkin memalukan negara kita di peringkat antarabangsa.”

Selain itu, Kok turut berkata kenyataannya telah disensasikan dengan tajuk yang menyebabkan pembaca “boleh ‘sakit jantung’ selepas membacanya”.

“Sekarang, kita berada dalam dunia yang mana pembaca hanya suka membaca tajuk, tetapi tidak kepada isu kandungan beritanya.

“Saya tidak salahkan media, tetapi, hanya cerita apa yang menjadi tumpuan dalam siasatan ini. Saya faham, media biasanya memetik baris perkataan tertentu dalam pelaporan berita mereka dan semua ini bergantung kepada keputusan editor.

“Tetapi, maksud saya yang lebih tepat adalah ‘menjejaskan’ nama baik negara di peringkat antarabangsa. Bukannya memalukan,” katanya lagi.

Perlu lebih berhati-hati

Pada masa sama, Kok mengakui dia perlu lebih berhati-hati di masa depan agar perkara sama tidak berulang.

“Saya perlu lebih berhati-hati lagi supaya kontroversi ini tidak berlaku dan saya juga tidak terlalu bergantung kepada ChatGPT.

“Ia adalah daripada kesalahan saya dan pekerja yang ditanggung bersama jadi saya mesti bertanggungjawab. 

“Tetapi, tidak bermakna saya bersalah kerana saya hanya membayangkan masalah yang bakal dihadapi pengusaha restoran,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS