Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Teresa hanya lontarkan kebimbangan orang bukan Islam - Loke
Diterbitkan:  Sep 8, 2024 3:21 PM
Dikemaskini: 7:21 AM

DAP menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengenai isu pensijilan halal hanya mewakili kebimbangan masyarakat bukan Islam di negara ini.

Pengerusi DAP, Anthony Loke berkata pandangan diberikan itu juga adalah maklum balas daripada pemilik restoran bukan Islam yang bimbang perniagaan mereka akan diwajibkan mendapatkan sijil halal.

"Sebagai ahli Parlimen, beliau memang sudah ada tanggungjawab untuk menyatakan pandangan yang mungkin diperolehi daripada pengundi-pengundinya.

"Itu sebabnya beliau menyatakan kebimbangan sedemikian. Apa yang dilontarkan itu satu kebimbangan daripada masyarakat, khususnya masyarakat bukan Islam," katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Dia berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Biasa DAP Perak kali ke-20 di Pusat Konvensyen Ipoh pada Ahad.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, cadangan mewajibkan pensijilan halal itu masih belum dipertimbangkan jemaah menteri.

Perkara itu katanya juga pasti melibatkan pindaan kepada beberapa undang-undang apabila ia diputuskan.

"Biasalah dalam negara kita ini, banyak isu-isu dipolemikkan. Ini mungkin daripada pemimpin-pemimpin yang bukan duduk dalam kerajaan.

"Sedangkan kita yang berada dalam kerajaan sudah tentu nak bincang dan selesaikan dalam peringkat kerajaan melalui Jemaah Menteri," katanya.

Kelmarin, Teresa berkata cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Ini susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar, Khamis lalu yang memaklumkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang mengkaji cadangan itu.

Teresa berkata, langkah itu juga bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

"Pengenalan pensijilan halal secara wajib akan menambah kos pentadbiran. Pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela, membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, dan bukannya dilaksanakan secara paksa yang akan menambah kesukaran operasi perniagaan," katanya.

Pandangan Teresa bagaimanapun mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin Bersatu dan Amanah yang meminta dia menarik balik kenyataan itu.

Terbaru Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kenyataan Teresa itu tidak mewakili pendirian PH.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS