mk-logo
Berita
Kerusi Mahkota jadi rebutan? Akmal mahu calon Pemuda Umno

Calon yang akan mewakili BN bertanding kerusi DUN Mahkota menjadi rebutan antara dua sayap Umno.

Pemuda Umno mencadangkan agar Ketua Pemuda Umno Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah menjadi calon BN pada pilihan raya kecil (PRK) DUN Mahkota tidak lama lagi.

Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa ahli MKT parti Abdul Rahman Dahlan untuk membawa perkara ini ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno malam ini bagi menyokong pendirian mereka.

"Kami ada satu lagi usul daipada pergerakan pemuda Umno Malaysia, di DUN Mahkota, Pemuda Umno mencalonkan Ketua Pemuda Umno Kluang untuk menjadi calon di Mahkota," katanya, sambil perwakilan Pemuda Umno bersorak "Hussien, Hussien" bagi menyokong usul ketua mereka.

Terdahulu, Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad menuntut calon daripada sayap parti itu diberi peluang untuk bertanding di DUN Mahkota.

Menurutnya, DUN Mahkota berkenaan sangat penting untuk dipertahankan kerana penyandang kerusi sebelum ini Exco Wanita Umno, Allahyarhamah Sharifah Azizah Syed Zain, yang juga ketua Wanita Umno Kluang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 28 September sebagai hari pengundian untuk pilihan raya kecil Mahkota, dengan hari penamaan calon dan pengundian awal masing-masing dijadualkan pada 14 dan 24 September.

Pilihan raya kecil ini diadakan berikutan kematian Sharifah pada 2 Ogos di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di Kluang.

Allahyarhamah Sharifah Azizah Syed Zain.

Pada pilihan raya negeri Johor pada Mac 2022, Sharifah yang mewakili BN menang kerusi tersebut dengan majoriti besar 5,166 undi.

PH pada 17 Ogos lalu mengumumkan gabungan parti kerajaan itu bersetuju memberi ruang kepada BN untuk bertanding PRK DUN Mahkota.

Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail berkata keputusan itu dicapai selepas mesyuarat kepimpinan tertinggi PH yang dipengerusikan Anwar Ibrahim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS