Paling Popular
Terkini

PAU 2024 | Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad meminta calon daripada sayap parti diberi peluang untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) DUN Mahkota tidak lama lagi.

Menurutnya, kerusi berkenaan sangat penting untuk dipertahankan kerana calon sebelum ini ialah Exco Wanita Umno, Allahyarham Sharifah Azizah Syed Zain, yang juga Ketua Wanita bahagian Umno Kluang.

"Legasi Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah perlu kita pertahankan.

“Walaupun Barisan Nasional kalah di Dun Mahkota pada PRU 2018 dengan majoriti kekalahan sebanyak 1,668, kita perlu bekerja keras untuk memenangkannya.

"Saya ingin menegaskan bahawa kita perlu menuntut agar kerusi DUN Mahkota diberikan kepada calon wanita," katanya dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Sept sebagai hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota, dengan hari penamaan calon dan pengundian awal masing-masing dijadualkan pada 14 dan 24 Sept.

PRK itu diadakan berikutan kematian Sharifah pada 2 Ogos di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di Kluang.

Pada pilihan raya negeri (PRN) Johor Mac 2022, Sharifah yang mewakili BN memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,166 undi.

Tiada cadangan naikkan had umur Puteri

Sementara itu, Noraini menolak cadangan Puteri Umno untuk menaikkan had umur keanggotaan sayap itu kepada 40 tahun.

Bagaimanapun, katanya pertimbangan boleh dibuat untuk menurunkan had umur keanggotaan Puteri Umno kepada 16 tahun berbanding 18 tahun ketika ini.

"Tak payah nak naik 40 tahun. 40 tahun pun dah ada anak-anak. Nanti sama-sama pergi program dengan anak.

"Tujuan dulu Puteri ditubuhkan sebab kita tak nak pergi program bersama dengan mak-mak kita," selorohnya.

Pada masa ini, keahlian Puteri Umno terbuka bagi wanita berumur antara 18 hingga 35 tahun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS