ADS
mk-logo
Berita
Bekas pegawai Muhyiddin sangkal SD mesti secara 'en bloc'
Diterbitkan:  Aug 22, 2024 1:03 PM
Dikemaskini: 5:03 AM

Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Malaysia ke-8, Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad, menyangkal dakwaan bahawa 10 Akuan Berkanun (SD) ahli Parlimen BN yang dikemukakan oleh Muhyiddin kepada Istana Negara pada 21 Nov 2022 adalah tidak sah.

Katanya, dakwaan SD tersebut adalah tidak sah kerana ia tidak diserah secara en bloc tidak boleh diterima.

En bloc ini bermakna jika terdapat 26 ahli Parlimen BN, kesemua mereka mesti mengemukakan SD menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai PM. Tidak boleh 10, 15, atau 20.

“Betulkah begitu?

ADS

“Mari kita lihat peruntukan perlembagaan persekutuan mengenai perkara ini,” kata Marzuki dalam satu hantaran di Facebook.

“Satu-satunya peruntukan dalam perlembagaan persekutuan mengenai pelantikan perdana menteri ialah Perkara 43(2)(a), iaitu:

Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai perdana menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu.

“Perkara 43(2)(a) tidak menyatakan perkataan en bloc atau parti. Yang disebut ialah kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

ADS

“Ini bermakna, dalam proses pelantikan perdana menteri, setiap ahli Dewan Rakyat boleh menyatakan kepercayaan kepada mana-mana ahli Dewan Rakyat yang lain sebagai perdana menteri,” kata Marzuki.

Menurutnya, ini adalah satu-satunya peruntukan perlembagaan persekutuan mengenai pelantikan perdana menteri

“Tidak ada peruntukan lain,” kata Marzuki.

Semalam, Muhyiddin menyerahkan sejumlah 115 SD kepada polis berhubung siasatan mereka berhubung ucapannya baru-baru ini.

SD itu, termasuk miliknya sendiri, kononnya daripada ahli parlimen yang menyokongnya menjadi perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-15 yang mengakibatkan kebuntuan politik.

Dia juga menyerahkan surat akuan penerimaan SD berkenaan yang bertarikh 21 Nov 2022 daripada setiausaha sulit kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dia juga menyebut bahawa turut disertakan bersama adalah 51 SD daripada PN, PAS (22), Gabungan Parti Sarawak (GPS - 22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS - 6), Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM - 1), serta SD daripada 10 ahli Parlimen BN dan dua ahli Parlimen bebas.

SD daripada PN dan MP PAS adalah berasingan kerana PN pernah bertanding menggunakan logo PAS di Terengganu dan Kelantan.

ADS

SD dan surat-surat berkenaan adalah antara dokumen yang diberikan oleh Muhyiddin kepada polis sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap dakwaan bahawa dia telah menghina baginda dengan mendakwa dirinya tidak dijemput untuk membentuk kerajaan selepas PRU15 walaupun mendapat sokongan 115 ahli Parlimen - termasuk dirinya sendiri.

Di samping mempertahankan kesahihan SD 10 ahli parlimen BN, Marzuki juga mempersoalkan kesan 'en bloc' undang-undang anti-lompat parti.

“Adakah undang-undang ini tidak membenarkan seorang ahli Dewan Rakyat memberi kepercayaan kepada seorang ahli Dewan Rakyat yang lain sebagai Perdana Menteri melainkan secara en-bloc?

“Hal ini masih boleh didebatkan. Undang-undang anti lompat parti itu sendiri pun terdedah kepada bermacam-macam tafsiran. Bagi saya ia adalah satu undang-undang yang digubal dengan teruk,” kata Marzuki.

Dia memetik para 15.3 muka surat 65 penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti .

“Jawatankuasa mengambil maklum pandangan bahawa berdasarkan perenggan (a) Fasal (2) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, Ahli Dewan Rakyat dilihat sebagai individu yang mewakili Kawasan Parlimen masing-masing dan bukan mengikuti sesuatu parti gabungan.

“Oleh itu masing-masing ahli Dewan Rakyat boleh memberi sokongan kepada mana-mana ahli Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri.

“Dalam hal ini, jawatankuasa mengambil maklum terdapat pandangan mengenai Perdana Menteri mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat melalui mekanisme yang akan ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong”.

Tambah Marzuki, para 15.3 di atas adalah terpakai secara khusus kepada Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan iaitu dalam menentukan siapakah pada hemat Yang di-Pertuan Agong yang mendapat kepercayaan majoriti untuk dilantik sebagai perdana menteri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS