Paling Popular
Terkini

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin hanya mempunyai 105 akuan bersumpah (SD) dan jumlah itu tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan, kata Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Kata Ahmad Zahid, 10 SD daripada ahli parlimen BN itu pula adalah tidak sah.

Ini kerana ahli parlimen BN telah menandatangani tiga dokumen yang menyerahkan kuasa kepadanya sebagai presiden parti, mengakui mana-mana kerusi yang dimenangi adalah milik parti, dan perjanjian untuk membayar denda RM100 juta jika mereka keluar parti atau menyokong orang lain, jelasnya.

“Apa yang dikatakan oleh beliau (Muhyiddin Yassin), ini (Setiausaha Agung) saksi hidup, 115 SD yang dikatakan ada itu termasuk 10 SD daripada ahli parlimen (BN) yang menandatangani dua SD.

“105 SD tidak cukup nak bentuk kerajaan.

“Yang keduanya setiap calon parlimen BN perlu tandatangan tiga dokumen. Satu menyerahkan sepenuhnya kuasa kepada Pengerusi BN untuk membentuk kerajaan atau mewujudkan kerajaan campuran atau sebab tindakan bagi ke arah pembentukan kerajaan," kata timbalan perdana menteri pada sidang media hari ini.

Semalam, Muhyiddin menyerahkan kepada polis 114 SD, termasuk SD miliknya, bagi membuktikan dirinya mendapat sokongan untuk dilantik sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-15 pada November 2022.

Media turut diberikan salinan SD Muhyiddin kepada istana bertarikh 21 Nov 2022, di mana dia menyebut bahawa dia telah melampirkan 51 SD daripada PN, PAS (22), Gabungan Parti Sarawak (GPS-22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS-6), Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM-1), serta SD daripada 10 ahli parlimen BN dan dua ahli parlimen bebas.

Zahid pada masa itu berbalah pendapat dengan ahli parlimen BN berkenaan mengenai sokongan terhadap Anwar.

GPS dan GRS pada mulanya menyokong Muhyiddin namun kemudian menukar sokongan mereka kepada Anwar apabila Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menasihatkan ahli-ahli parlimen supaya membentuk "kerajaan perpaduan".

SD berkenaan adalah antara dokumen yang diberikan Muhyiddin kepada pihak polis bagi membantu siasatan berhubung ucapan yang didakwa menyentuh isu 3R.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Semasa berucap di Felda Perasu di Kelantan pada 14 Ogos, Muhyiddin berkata dia tidak tahu mengapa Sultan Abdullah tidak memanggilnya ke istana untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 meskipun dia mempunyai sokongan mencukupi.

‘Perkukuhkan kerjasama dahulu’

Sementara itu, Ahmad Zahid turut ditanya mengenai ucapan Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh yang menggesa parti itu kembali menjadi parti dominan dan menguasai landskap politik negara.

"Saya fikir itu adalah situasi yang ideal tetapi kita harus mengetahui bahawa kita harus berusaha dahulu seperti yang saya nyatakan semalam supaya tidak berlaku pertindihan kerusi-kerusi yang ditandingi di kalangan parti komponen dalam parti kerajaan perpaduan

“Pada hemat saya apa yang terlebih dahulu diperlukan adalah daripada segi kerjasama, namun dari segi penggunaan lambang parti tetap lambang parti masing-masing iaitu parti gabungan,” katanya.

Terdahulu, Akmal berkata Umno tidak boleh terlalu selesa dengan peranannya sekarang sebagai sekadar pelengkap kepada kerajaan perpaduan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS