mk-logo
Berita
Shukri, jangan layan spekulasi letak jawatan MB - Mursyidul Am PAS
Diterbitkan:  Aug 14, 2024 11:27 AM
Dikemaskini: 3:27 AM

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin menasihati Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli supaya tidak melayan khabar angin mengenai kedudukannya.

Jelas Hashim tidak ada perbincangan peringkat parti dan arahan untuk pesuruhjaya PAS Perlis itu melepaskan jawatan menteri besar.

“Tidak, setakat pengetahuan saya, PAS tidak pernah meminta Shukri untuk meletak jawatan,” katanya kepada Harakahdaily.

Semalam, Shukri yang juga Adun tiga penggal bagi Sanglang dipetik Bernama berkata dia masih menteri besar Perlis.

"Saya tidak mahu layan isu yang bersumberkan Twitter (kini X) sahaja.

"Saya masih memegang amanah sebagai menteri besar dan melaksanakan tugas seperti biasa," katanya yang menerajui pentadbiran Perlis sejak PRU 2022.

Pada bulan April, SPRM telah menahan anak lelaki Shukri untuk membantu siasatan berkaitan pengemukaan dokumen dan tuntutan palsu melibatkan RM600,000 dalam tempoh dua tahun yang lalu.

Pemimpin PAS itu kemudiannya menyifatkan perkara ini sebagai “ujian” namun berkata anaknya harus dihukum jika dia melanggar undang-undang.

Pada 30 April, Shukri juga telah dipanggil untuk disoal siasat dan menghabiskan masa lapan jam di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Pada bulan Mei, Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi menggesa Shukri supaya meletakkan jawatan berhubung perkara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS