Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tanah Kesedar: Kenapa Annuar tak selesaikan masa jadi menteri, soal Zahid

PRK NENGGIRI | Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi membidas Annuar Musa yang menurutnya tidak menyelesaikan isu yang dihadapi peneroka sewaktu menjadi menteri.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dipercayai merujuk ketika Annuar menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar pada 1993 hingga 1999.

"Saya tak mahu menyentuh peribadi mana-mana individu tetapi kalau individu itu pernah menjadi menteri pembangunan luar bandar, sepatut masalah itu selesai ketika dia jadi menteri.

"Kenapa semasa di Neggiri ini perkara itu ditimbulkan (sedangkan) kegagalan masa dia. Saya terpaksa selesaikan, kerajaan sekarang terpaksa selesaikan," katanya ketika sidang media di Jeram Tekoh, Gua Musang, hari ini.

Sebelum itu, Ahmad Zahid menghadiri majlis Program Temu Mata bersama masyarakat di sana, hari ini.

Malam tadi, Annuar yang juga pengarah operasi PN bagi PRK Nenggiri mencadangkan agar kerajaan negeri menyerahkan tanah yang di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) kepada peneroka.

Ini kerana, dakwanya, Kesedar selama puluhan tahun gagal menyelesaikan isu penyerahan tanah kepada peneroka.

Dia berkata demikian ketika berucap dalam acara pelancaran manifesto calon PN bagi PRK ini, Rizwadi Ismail.

Sementara itu, Ahmad Zahid menyifatkan Annuar umpama menepuk air di dalam dulang yang akhirnya terpercik ke muka sendiri.

"Tepuk air di dulang sekarang percik di muka dialah. Atas kelemahan dan kekhilafan yang dilakukan, kami yang terpaksa menanggung.

"Tapi tak mengapa. Demi peneroka, peserta kesedar dan yang lain di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, kita akan bantu selesaikan dengan kadar segera," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS