Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiger Beer nafi beri sumbangan kepada sekolah
Diterbitkan:  Jul 25, 2024 9:39 PM
Dikemaskini: 1:39 PM

Tiger Beer hari ini menjelaskan mereka tidak pernah membuat sebarang sumbangan kewangan kepada mana-mana sekolah.

Syarikat bir itu dalam kenyataannya berkata, Konsert Amal Pendidikan Cina (CECC) yang menjadi kontroversi baru-baru ini telah wujud sejak 30 tahun lalu.

Katanya misi Tiger Beer dalam program tersebut adalah sebagai platform yang membantu masyarakat setempat mengumpul dana untuk menaik taraf kemudahan di sekolah-sekolah Cina yang memerlukan.

"Sebagai sebuah jenama bir, kami tidak membuat sebarang sumbangan kepada sekolah.

"Peranan kami dalam CECC hanya melibatkan persembahan artis tempatan di konsert yang dianjurkan untuk para penderma," katanya.

Ahad lalu, acara amal anjuran SJK (C) Tche Min di Sungai Pelek, Selangor mengundang kontroversi selepas Tiger Beer didakwa menjadi salah satu pihak penderma.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Aiman ​​Athirah Sabu merasmikan majlis itu. ADUN Sungai Pelek Lwi Kian Keong turut hadir.

Ekoran kontroversi itu, Kementerian Pendidikan Malaysia mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan akan menyiasat perkara itu.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh pula mengkritik PAS Selangor kerana didakwa memutarbelitkan fakta untuk menghasut emosi orang Melayu.

Tiger Beer berkata sehingga kini pelbagai siri CECC yang dianjurkan berjaya mengumpul lebih RM413 juta daripada para penyumbang yang terdiri daripada masyarakat tempatan.

"Komunikasi dan penglibatan kami hanya pada peringkat persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sekolah serta ahli lembaga pengarah yang mengendalikan sekolah," katanya.

Pada masa sama kata syarikat itu lagi mereka sentiasa berhati-hati dalam setiap program yang disertai bagi memastikan semuanya menghormati sensitivi budaya dan mematuhi peraturan yang ada.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS