Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon menafikan laporan akar umbi parti itu memberi tekanan kepada pucuk pimpinan untuk keluar daripada gabungan BN.
"Tidak benar. Tidak ada perbincangan sebegitu dalam parti," katanya, lapor FMT.
Dia berkata demikian ketika mengulas laporan Malaysiakini yang memetik sumber pucuk kepimpinan MCA berkata anggota akar umbi MCA kini tidak lagi gembira dengan kedudukan parti terbabit dalam BN selepas menyertai gabungan tersebut sejak 72 tahun lalu.
https://www.malaysiakini.com/news/712437
Sumber itu mendakwa beberapa seban ketidakpuasan hati akar umbi, antaranya tidak wujud keserasian agihan kerusi bersama PH, MCA dianaktirikan dalam kerajaan dan jenama BN hilang percaya di kalangan pengundi antara beberapa sebab, akar umbi mahu pucuk pimpinan MCA mengambil keputusan meninggalkan BN.
Laporan Malaysiakini itu turut memetik sumber yang menyebut rakan komponen BN, MIC juga kemungkinan akan mengikut jejak MCA keluar dari BN atas sebab-sebab yang sama.
Presiden MCA Wee Ka Siong dan presiden MIC SA Vigneswaran yang dihubungi Malaysiakini bagaimanapun enggan memberi sebarang komen.
Difahamkan tekanan kepada pucuk pimpinan MCA untuk membuat keputusan drastik bertambah kuat setelah Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi membuat kenyataan yang menyatakan BN akan terus bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRU ke-16.
https://www.malaysiakini.com/news/710351- BEKERJASAMA
Untuk rekod, sebelum ini Chong bersama-sama setiausaha agung MIC RT Rajasekaran mempersoalkan kenyataan Ahmad Zahid itu.
Mereka menegaskan MCA dan MIC tidak dirujuk berhubung kenyataan Ahmad Zahid bahawa BN akan bekerjasama dengan PH.
Mereka juga mempertikaikan pengumuman Ahmad Zahid yang mengatakan BN tidak akan bertanding di kawasan di mana rakan PH bertanding.
Chong berkata pengumuman itu mengejutkan ramai pihak dalam BN, kerana perkara itu tidak pernah dibangkitkan.
"Saya telah menyemak dengan presiden parti saya, yang menghadiri mesyuarat majlis tertinggi BN. Telah disahkan bahawa keputusan mengenai BN tidak bertanding di kawasan yang ditandingi PH tidak dibangkitkan semasa mesyuarat itu," kata Chong dipetik laporan The Star.
https://www.thestar.com.my/news/nation/2024/07/05/mca-and-mic-were-not-consulted- THE STAR
Chong dan Rajasekaran mengesahkan MCA dan MIC mengadakan pertemuan untuk berbincang mengenai kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua pihak.
Sementara itu, laporan FMT juga memetik seorang lagi pemimpin MCA, yang enggan dinamakan mendakwa ada pihak tertentu cuba memecahbelahkan BN, yang diasaskan pada 1973.
Dia percaya ini kerana pemimpin MCA lantang mengkritik prestasi kerajaan perpaduan dan menyerang parti dalam pentadbiran persekutuan.
"Mereka terdesak untuk memecahbelahkan BN. Mereka melihat MCA sudah lantang bersuara sedangkan prestasi mereka (sebagai kerajaan) semakin teruk, katanya.
BN kini terdiri daripada Umno, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). BN memenangi 30 kerusi parlimen semasa pilihan raya umum November 2022.