Wartawan Malaysiakini B Nantha Kumar didakwa di bawah Akta SPRM di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.
Wartawan kanan berusia 42 tahun itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 16 akta tersebut, yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan yang diterima.
Nantha, yang sebelum ini telah mendedahkan pelbagai sindiket pekerja asing, menafikan dakwaan menerima rasuah RM20,000 daripada seorang ejen Pakistan.
Menurut pertuduhan yang dibacakan di mahkamah, Nantha didakwa menerima rasuah daripada seorang warga Pakistan di Hotel Concorde, Shah Alam, pada jam 11.45 malam pada 28 Februari lalu.
Dia didakwa menerima wang tersebut sebagai dorongan untuk memadam dan tidak memuat naik artikel di portal Malaysiakini mengenai sindiket pekerja asing.
Pasukan pendakwaan meminta mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 dan mengarahkan Nantha menyerahkan pasportnya, kerana kes ini melibatkan jenayah kolar putih dan tertuduh dilihat ada risiko untuk melarikan diri.
Timbalan Pendakwa Raya Alis Izzati Azurin Mohd Rusdi berhujah bahawa jumlah jaminan yang tinggi diperlukan bukan sahaja untuk memastikan Nantha menghadiri prosiding mahkamah, tetapi juga bagi mengelakkan tertuduh daripada mengganggu saksi pendakwaan.
Dia turut meminta mahkamah mengenakan syarat tambahan bagi menghalang tertuduh daripada memuat naik artikel yang boleh menjejaskan kesnya.
Bagaimanapun, peguam P Purshotaman merayu agar jaminan dikurangkan kepada RM5,000 dengan alasan umum mengetahui Nantha ialah seorang wartawan yang telah memenangi anugerah dan menulis laporan mengenai sindiket pekerja asing.
“Dia mempertaruhkan nyawa untuk mendedahkan (sindiket pekerja asing), ini adalah satu bentuk khidmat kepada negara,” katanya, sambil menambah Nantha yakin dapat membersihkan namanya di mahkamah.
Hakim Nasir Nordin kemudian menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan pasport Nantha diserahkan kepada mahkamah.
Nasir juga mengarahkan Nantha untuk melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat sekali sebulan dan menetapkan 23 April untuk sebutan kes.
Nantha kemudian dibawakeluar dari mahkamah oleh pegawai polis, sementara isteri dan pasukan peguamnya menyelesaikan urusan pembayaran ikat jamin.
Pengarang Urusan Malaysiakini Ng Ling Fong bersama beberapa kakitangan portal berita itu dilihat ada di galeri awam untuk memberi sokongan kepada Nantha.
Portal berita itu turut menyediakan bayaran ikat jamin untuk Nantha sebagai tanda sokongan terhadap wartawan berkenaan.
Ketika ditemui media selepas prosiding, Ng menegaskan sokongan portal berita itu terhadap Nantha.
“Kami berdiri bersama wartawan kami, dan kami yaking dia tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya,” katanya.
Malaysiakini sedang menjalankan siasatan dalaman mengenai perkara ini dan akan mendedahkan penemuan tersebut kepada umum.
Sehingga keputusan dibuat oleh panel bebas, Malaysiakini menggantung tugas Nantha dengan faedah penuh.