Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pensyarah USM sedia bantu penganjur George Town Festival

Ahli akademik Universiti Sains Malaysia (USM), Mohamed Ghouse Nasuruddin (gambar atas), menyatakan kesediaannya membantu penganjuran George Town Festival (GTF) 2024 agar ia mampu menyampaikan citra kebudayaan sebenar Pulau Pinang.

Dia yang berkhidmat di Pusat Pengajian Seni USM berkata dengan cara itu sekurang-kurangnya GTF kali ini mampu membawa kelainan dan imej yang tercalar dapat dipulihkan.

“Mengangkat seni dan kebudayaan masyarakat Malaysia termasuk Pulau Pinang sudah menjadi pekerjaan hakiki saya.

“Baru sahaja beberapa hari lepas saya terlibat dalam penganjuran festival boria,” katanya kepada Malaysiakini.

Ghouse yang juga ahli Majlis Warisan Kebangsaan berkata demikian sebagai mengulas saranan Institut Kesedaran Rakyat (IKR) yang mahu dia dilibatkan dalam penganjuran GTF kali ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan bagaimana Pengerusi IKR, Abdul Rahman Maidin, yang meluahkan rasa kecewa terhadap GTF yang didakwanya tidak menjaga sensitiviti orang Melayu di Pulau Pinang.

Kontroversi itu muncul ekoran klip video mempromosi sambutan acara tahunan tersebut yang didakwa sesetengah pihak langsung tidak memaparkan budaya orang Melayu.

Tak dapat terima alasan

Abdul Rahman turut menggesa agar Ketua Eksekutif GTF 2024 diberhentikan serta-merta.

“IKR juga ingin supaya syarikat yang mengeluarkan video tersebut dibatalkan kontraknya untuk GTF 2024," katanya.

Menurut Ghouse dia bersetuju bahawa video promosi GTF kali ini tidak menonjolkan sisi masyarakat Melayu Pulau Pinang seperti boria, bangsawan dan muzik tradisional.

“Budaya di Pulau Pinang harus melibatkan semua kaum di negara ini khusus orang Melayu kerana kita harus ingat mereka merupakan penduduk asal pulau ini.

“Tidak boleh kita pinggirkan mereka. Budaya umum orang Melayu seperti wayang kulit dan mak yong juga harus ditonjolkan,” katanya.

Penganjur GTF pula pada 16 Julai membuat permohonan maaf atas kekeliruan yang ditimbulkan, malah berasa kesal apabila ia dianggap telah menyinggung perasaan sesetengah individu dan kumpulan secara tidak sengaja.

Mereka turut menurunkan semua siaran promosi yang berkaitan dengan video tersebut "bagi mengelakkan timbul salah faham."

Pengarah Artistik GTF 2024, Ling Tang, pula memberitahu video tersebut dihasilkan untuk menunjukkan kepakaran seniman terpilih, dan tidak berniat untuk membawa imej budaya mereka.

Menegaskan berusaha mengetengahkan penampilan inklusif, dia berkata lapan individu dan kumpulan masyarakat Melayu akan terlibat dalam acara berkenaan.

Mengulas lanjut Ghouse juga tidak dapat menerima alasan penganjur yang mendakwa klip video yang dipertikaikan itu dihasilkan untuk memaparkan kepakaran seniman terpilih.

“GTF 2024 sendiri menggunakan nama bandar raya bersejarah Unesco, sudah tentu program bertemakan nostalgia sejarah harus diberatkan pada budaya.

“Ditambah pula kepakaran seniman Cina dan India yang dipaparkan lebih menjurus kepada kebudayaan tradisional mereka,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS