PARLIMEN | Anggot Dewan Rakyat dari blok pembangkang keluar beramai-ramai meninggalkan sidang hari pertama tengah hari ini sebagai tanda membantah keputusan merujuk Wan Saiful Wan Jan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Ia bagaimanapun menjadi tumpuan dengan cara tersendiri kerana langkah protes itu berlangsung hanya kurang seminit sebelum Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul menangguhkan sidang untuk rehat tengah hari.
Sebelum itu Dewan Rakyat meluluskan usul untuk merujuk Wan Saiful (PN-Tasek Gelugor) kepada jawatankuasa berkenaan berhubung dakwaan dibuatnya pada penghujung Feb lalu.
Ketika itu Wan Saiful mendakwa dia ditawarkan habuan tertentu - bernilai hampir RM2 juta - jika bersetuju memberikan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Bekas Ketua Penerangan Bersatu juga mendakwa di Dewan Rakyat, kes rasuahnya yang sedang dibicarakan di mahkamah juga boleh digugurkan jika sedia berpaling tadah.
Usul merujuk Wan Saiful ke jawatankuasa khas berkneaan dibentangkan oleh Menteri Undang-undang dan Pembaharuan Institusi, Azalina Othman Said.
Ia diluluskan dengan undi suara.
Ketika Johari membacakan keputusan undian tersebut sebelum diikuti pengumman penangguhan sidang, ahli parlimen PN pun bangun beramai-ramai meninggalkan dewan.
Terdahulu Azalina berkata usul merujuk Wan Saiful kepada jawatankuasa itu bertujuan untuk menentukan sama ada kenyataan dibuat ahli parlimen terbabit mengelirukan dewan atau tidak, serta menjejaskan kepentingan pihak yang berkenaan.
Dia menekankan bahawa penting untuk mempertahankan integriti parlimen dan memastikan setiap ahlinya mematuhi piawaian yang ada.
Bukan speaker buat keputusan
Melalui jawatankuasa khas itu, kata Azalina, mereka ada kuasa untuk mengumpul bukti yang diperlukan berkaitan dakwaan tersebut.
Katanya, dapatan badan berkenaan tidak bersifat muktamad sebaliknya akan menyediakan asas buat Dewan Rakyat mengambil tindakan lanjut selepas ia dibentangkan.
Sebelum sesi undian dijalankan Ronald Kiandee (PN-Beluran) berhujah bahawa usul itu tidak sepatutnya diteruskan kerana melanggar Peraturan Tetap 36(12), 23(1)(g), dan 36(2).
Dakwa Ronald, isu berkenaan sedang dalam pertimbangan mahkamah, justeru bersifat subjudis.
Bekas timbalan speaker Dewan Rakyat itu juga membidas Johari kerana membenarkan usul berkenaan dibentangkan oleh Azalina.
Katanya, langkah Wan Saiful enggan memberikan bukti bagi menyokong dakwaannya sebelum ini ditafsir oleh Johari sebagai enggan bekerjasama sehingga usul tersebut dibawa.
Menurut Ronald, Johari sepatutnya menubuhkan suatu jawatankuasa mengikut peraturan dewan bagi membolehkan bukti-bukti yang ada dikemukakan.
Dia juga mencadangkan agar jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh orang selain Johari bagi memastikan ia benar-benar bebas.
Johari bagaimanapun berkata dia terikat dengan perkara itu.
"Saya tak ada pilihan, maknanya sekarang saya kata kita bukan menghukum Tasek Gelugor di sini. Kita tak bagi judgment (penghakiman) apa-apa.
"Cuma kita minta dia jelaskan kepada jawatankuasa khas dan akhirnya jawatankuasa itu yang buat keputusan, bukan saya," katanya.