Kerajaan akan meneliti implikasi berhubung cadangan untuk meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah bidang kuasa Parlimen, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata syarat-syarat ketat mengenai cadangan itu juga perlu diteliti terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang keputusan berhubung perkara berkenaan.
“Hal itu (meletakkan SPRM di bawah Parlimen) harus kita bincang … kita kena teliti syarat-syarat ketat (sebelum melaksanakannya),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri kenduri bersempena dengan sambutan Aidiladha kenalan lama beliau Hamzah Mat Isa di Mengkuang Semarak dekat Bukit Mertajam hari ini.
Beliau turut menyifatkan SPRM kini kelihatan lebih "garang" berbanding dahulu.
Anwar berkata walaupun berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, adalah menjadi tanggungjawab badan itu untuk menjalankan siasatan sekiranya terdapat salah laku tanpa mengira status seseorang.
“Sekarang ini yang penting siasat dan ada bukti yang nyata, dan dakwa. Itu yang penting, kemudian gunakan penghujahan teknikal, jangan lari daripada kenyataan. Saya tidak peduli, jangan reka, jangan aniaya, ada bukti jawab, ada fakta jawab, itu yang penting,” katanya.
Ahad lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika menjadi tetamu audio siar bersama sebuah penerbitan berita tidak bersetuju dengan cadangan untuk meletakkan SPRM di bawah Parlimen kerana SPRM satu-satunya agensi dipantau lima badan bebas berbanding Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong yang dipantau empat badan pengawasan.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri juga berikrar untuk menjadikan Cherok Tokun sebagai sebuah Kampung Madani yang hebat di bawah inisiatif menjadikan ia kampung angkat beliau.
Terdahulu, Anwar dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa-masa kira 45 minit beramah mesra serta menyantuni tetamu yang hadir pada majlis berkenaan.
- Bernama