Malaysiakini merangkul Anugerah Kajai buat julung-julung kalinya hari ini, selain memenangi dua hadiah emas bagi hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2023.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada majlis Malam Wartawan Malaysia dan hadiah Kewartawanan Malaysia 2023 di ibu negara malam ini.
Anugerah paling berprestij dalam kewartawanan negara itu dimenangi wartawan S Vinothaa, Ooi Choon Nam dan Affan Amrish Mohd Jalani menerusi tiga siri laporan mengenai kanak-kanak tanpa kerakyatan di Sabah yang diambil secara paksa daripada ibu bapa mereka untuk dijadikan anak angkat.
Mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM30,000, berserta trofi dan sijil.
Laporan bersiri itu juga dicalonkan untuk Anugerah Society of Publishers in Asia (Sopa) 2024 dan dijadikan sebagai dokumentari selama 16 minit.
Aidila Razak dan Basil Foo turut menyumbang kepada laporan berkenaan namun tidak dicalonkan kerana bilangan kategori dihadkan bagi setiap peserta.
Sementara itu Vinothaa turut memenangi tempat pertama bagi kategori 'Kewartawanan Penyiasatan Terbaik' menerusi laporan bertajuk '‘Exposed: Shackles of rampant modern-day slave trading’.
Laporan yang disiarkan pada 13 Jun 2023 itu membongkar isu pemerdagangan manusia secara terbuka melibatkan pekerja asing dengan bayaran dikenakan kepada majikan dan komisen diperolehi daripada gaji pekerja berkenaan.
Vinothaa memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM10,000, sebuah trofi dan sijil.
Hadiah tersebut akan dikongsi dengan bekas wartawan Arulldas Sinnappan, yang turut menyumbang kepada laporan tersebut namun tidak dicalonkan bagi anugerah itu kerana akreditasi medianya telah tamat tempoh.
Tempat kedua dimenangi New Straits Times menerusi laporan mengenai sindiket kitar semula kenderaan, manakala tempat ketiga dimenangi RTM Perak menerusi laporan tentang penipuan kewangan.
Bagi kategori “Kewartawanan Multimedia Terbaik”, tempat pertama dimenangi Malaysiakini menerusi laporan bertajuk ‘State polls: How far can the ‘Green Wave’ go?’
Fitur interaktif itu menerangkan mengenai dinamik pilihan raya di enam negeri pada tahun lalu dan membolehkan pembaca melakukan simulasi keputusan pilihan raya menerusi pelbagai senario. Selain itu, ia juga meninjau peranan pengundi muda dalam memenangkan PN pada pilihan raya umum ke-15 lalu.
Mereka yang dinamakan bagi anugerah itu ialah Andrew Ong, Ooi, Aidila Razak, Syariman Badrulzaman, Hariz Mohd, Raveena Nagotra dan Pia Ernadya.
Projek berkenaan turut dijayakan oleh Emylia Rosli, Syariman Badrulzaman, Mahen Manickam dan Siti Afifah.
Tempat kedua dimenangi The Star menerusi siri 'Colours of Malaysia', manakala tempat ketiga dimenangi Astro Awani menerusi laporan mengenai pilihan raya di enam negeri tahun lalu.
HKM MPI-Petronas 2023 turut menobatkan Khalidah Adibah Amin sebagai Tokoh Wartawan Negara.
Selain kategori-kategori ini, Anugerah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas juga mengiktiraf kategori lain seperti infografik terbaik, foto kewartawanan terbaik, wartawan muda terbaik, dan laporan berita terbaik.