Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Program DLP: 11 SMJK (C) Pulau Pinang bantah pekeliling KPM
Diterbitkan:  Jun 6, 2024 11:15 AM
Dikemaskini: 3:15 AM

Sebelas sekolah menengah Cina di Pulau Pinang dilaporkan menolak arahan baru dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP).

Jurucakap kumpulan itu, Koay Hean Eng, berkata pekeliling dikeluarkan KPM mengenai pelaksanaan program berkenaan dikeluarkan pada 15 April lalu.

Dipetik The Star, kumpulan itu dilaporkan bertegas enggan mengikuti arahan KPM yang mewajibkan mana-mana sekolah yang mahu melaksanakan DLP agar menyediakan sekurang-kurangnya ada satu kelas mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu

Satu daripada sekolah tersebut ialah SMJK (C) Chung Ling di George Town. Di sekolah itu semua 400 pelajar tingkatan satunya ingin mempelajari subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

“Pelaksanaan kelas bukan DLP ini menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar mengakibatkan kekeliruan dan menjejaskan psikologi murid.

"DLP dalam subjek Sains dan Matematik bukan sahaja memastikan kesinambungan pelajar apabila mereka melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi tetapi juga meningkatkan daya saing mereka di arena antarabangsa," katanya.

Tambah Koay jika KPM mahu meningkatkan tahap penguasaan pelajar dalam bahasa Melayu langkah yang dicadangkan ialah menambah baik sukatan pelajaran mata pelajaran berkenaan serta menyemak kaedah pengajaran.

Dakwan Koay lagi, arahan terbaru KPM itu mengabaikan kehendak ibu bapa dan bertentangan dengan hasrat asal DLP iaitu untuk memperkukuh dan melengkapkan pelajar dengan lebih baik dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Menyuarakan kebimbangan sama ialah Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMJK (C) Jit Sin, Laeu Boon Hui.

Kata Laeu kira-kira 99.5 peratus ibu bapa kepada 1,100 pelajar di sekolah itu tidak memihak untuk ada kelas mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.

Disember lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mendakwa lawatan turun padang mendapati sebilangan pelajar di sekolah yang melaksanakan DLP tidak menguasai asas bahasa Melayu atau bahasa ibunda mereka.

Garis panduan pelaksanaan DLP semasa ialah sesebuah sekolah perlu dilengkapi sumber pengajaran yang mencukupi, persediaan dibuat oleh pengetua dan guru, dan persetujuan ibu bapa diperoleh.

Sekolah berkenaan juga perlu menunjukkan prestasi bahasa Melayu yang memenuhi piawaian purata kebangsaan.

Bagaimanapun, ketika ini sekolah yang melaksanakan DLP dikehendaki menyediakan sekurang-kurangnya satu kelas untuk pembelajaran dua subjek berkenaan dalam bahasa Melayu atau bahasa ibunda.

KPM membenarkan pelaksanaan sepenuhnya DLP hanya di lima sekolah Kuala Lumpur - SK Convent Bukit Nanas (1), SK Bukit Damansara, SJKT Vivekananda, SJKT Segambut dan SJKT Ladang Edinburgh.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS