Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes bunuh Zayn Rayyan: Polis tahan ibu bapa bantu siasatan

Kemaskini Polis telah menahan ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin - kanak-kanak autisme berusia enam tahun yang dibunuh pada Disember.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini berkata penahanan dibuat selepas polis menemui beberapa petunjuk baru dalam kes itu.

"Ya. Saya sahkan tangkapan ibu dan bapa.

"Berpandukan risikan sejak hari kejadian sehingga sekarang.

"Tangkapan ini untuk bantu siasatan,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Hussein, kes masih disiasat mengikut Seksyen 302 kerana membunuh.

Hussein juga memaklumkan ibu bapa kepada kanak-kanak itu direman tujuh hari bermula hari ini hingga 7 Jun bagi membantu siasatan.

Beberapa media melaporkan polis telah menahan ibu bapa kanak-kanak itu di Puncak Alam pagi semalam.

Zayn Rayyan, kanak-kanak lelaki autisme berusia enam tahun, ditemui meninggal dunia di tepi sungai kira-kira 200 meter dari rumahnya di Damansara Damai, Petaling Jaya, sekitar 10 malam pada 6 Dis.

Mayatnya ditemui oleh anggota pasukan pencarian yang ditubuhkan untuk mencari kanak-kanak lelaki itu, yang dilaporkan hilang pada petang 5 Dis.

Polis pada mulanya mengesyaki kanak-kanak itu mati lemas, tetapi mengklasifikasikan semula siasatan mereka kepada pembunuhan selepas bedah siasat mendedahkan dia dicekik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS