Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini menolak permohonan Na'imah Abdul Khalid untuk pemulangan pasportnya secara kekal, yang diserahkan kepada Mahkamah Sesyen sebagai sebahagian daripada syarat jaminan RM250,000 yang dikaitkan dengan kes jenayah pendedahan asetnya yang belum selesai.

Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Bache hari ini berkata bahawa Mahkamah Sesyen telah menggunakan budi bicaranya dengan betul dalam memerintahkan penahanan pasport Na'imah sebagai sebahagian daripada syarat jaminan.

Ahmad juga bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa terdapat risiko Na'imah melarikan diri ke luar negara jika pasport dipulangkan secara kekal kepadanya, sambil menambah bahawa dia sentiasa boleh memfailkan permohonan pada masa depan untuk pemulangan sementara pasportnya untuk pertimbangan mahkamah.

Sebelum ini, pihak pendakwaan berhujah kepada Mahkamah Tinggi bahawa tiada jaminan Na'imah tidak akan melarikan diri, justeru mahkamah perlu memegang pasportnya.

Ahmad hari ini berkata terdapat risiko Na'imah melarikan diri dalam senario hipotesis di mana suaminya Daim yang sudah tua, yang berkerusi roda dan tidak sihat, mungkin memerlukan rawatan perubatan daripada fasiliti kesihatan luar negara.

Hakim Mahkamah Tinggi menegaskan bahawa Daim tidak dikehendaki oleh Mahkamah Sesyen untuk menyerahkan pasportnya sebagai sebahagian daripada syarat jaminan dalam pertuduhan pendedahan aset yang sama terhadap bekas menteri itu.

“Jika pasport pemohon ada bersamanya (dipulangkan secara kekal), maka besar kemungkinan apabila kedua-duanya (Na’imah dan Daim) berada di luar negara, mereka mungkin tidak kembali untuk menghadapi prosiding (di hadapan Mahkamah Sesyen), " kata Ahmad.

Hakim Mahkamah Tinggi memberi jaminan sekiranya Na'imah perlu memohon pemulangan sementara pasportnya untuk membantu Daim mendapatkan rawatan perubatan di luar negara, pihak pendakwaan boleh membantu memudahkan perkara ini.

Peguam M Puravalen bertindak bagi Na'imah, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Pada 23 Jan, di hadapan Mahkamah Sesyen, pasport Na’imah diperintahkan untuk diserahkan sebagai sebahagian daripada syarat jaminan yang dikaitkan dengan pertuduhan jenayahnya atas dakwaan gagal mematuhi notis SPRM untuk mendedahkan asetnya.

Wanita berusia 66 tahun itu minta dibicarakan terhadap pertuduhan yang dirangka mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu dengan memberikan akuan bertulis bersumpah yang tidak mematuhi notis SPRM di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM.

Dituduh melakukan kesalahan itu antara 13 hingga 14 Dis tahun lepas, dia boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM100,000.

Aset yang didakwa tidak didedahkannya melibatkan beberapa bidang tanah, hartanah dan kenderaan Mercedes-Benz.

Mengikut lampiran yang dilampirkan pada pertuduhan dan dibacakan di mahkamah, antara lapan hartanah yang didakwa terlibat ialah Menara Ilham di Kuala Lumpur, sebuah rumah di Bukit Tunku, Kuala Lumpur, serta enam bidang tanah - lima di Kuala Lumpur dan satu di Pulau Pinang.

Antara perkara lain yang didakwa terlibat adalah membabitkan dua syarikat, iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi menetapkan ikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin tempatan dan memerintahkan Na’imah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah, sementara menunggu kesnya diselesaikan.

[Laporan penuh menyusul]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS