Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Puting beliung' Lahad Datu macam dalam filem - saksi tergamam
Diterbitkan:  Mar 16, 2024 10:10 PM
Dikemaskini: 2:19 PM

Saksi kejadian angin berpusar yang seakan-akan puting beliung di Jalan Segama Industrial State, Batu 1 di Lahad Datu semalam, tergamam apabila melihat kejadian itu buat kali pertama di Lahad Datu dan menggambarkan kejadian itu seakan-akan dalam filem barat di Holywood.

Pemilik perniagaan Chia Tet Vui, 62, berkata sebelum kejadian keadaan cuaca di kawasan itu sedikit mendung dan tiba-tiba berlaku satu pusaran angin yang kecil dan selepas itu berubah besar kemudian hilang sebelum hujan lebat melanda.

“Hampir 31 tahun saya berniaga di kawasan ini, itu pengalaman pertama saya, isteri dan anak berdepan kejadian angin pusat macam puting beliung itu. Memang saya takut ketika tengok kejadian itu.

“Kejadian ini berlaku pantas, kira-kira 1.30 tengah hari kedai tutup sekejap sebab hari Jumaat, tetapi saya biarkan pintu belakang terbuka dan ternampak angin kuat berpusing-pusing, selain mendengar bunyi deruan angin kuat,” katanya ketika ditemui Bernama di Lahad Datu hari ini.



Semalam, Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Rohan Shah Ahmad mengesahkan kejadian pusaran angin seperti puting beliung di kawasan itu, menerbangkan beberapa kepingan bumbung zink bangunan dan fenomena tersebut sempat dirakam orang awam sebelum tular di media sosial.

Chia berkata akibat kejadian itu beberapa bumbung zink di premis miliknya telah diterbangkan dan rosak, namun bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku akibat kejadian tersebut.

“Pada mulanya saya tidak tahu zink kedai saya diterbangkan, tetapi kemudian saya tengok bila hujan lebat selepas itu kedai saya masuk air hujan dan bocor. Terus saya bergegas alihkan barang dan tutup bocor mana yang boleh,” katanya.

Seorang lagi saksi kejadian, suri rumah Malia Jalil, 50, yang ketika itu berada di sebuah pasar raya berhampiran lokasi kejadian bersyukur, kerana semua penduduk selamat dan tiada kecederaan dalam kalangan penduduk akibat kejadian itu.



“Memang menakutkan, pusaran angin begitu kuat dan menerbangkan beberapa keping zink bumbung bangunan kedai dan zink yang terbang itu hampir mengenai beberapa kenderaan.

“Saya mendengar orang ramai berteriak memberitahu berlaku puting beliung, hati-hati, saya tidak sangka kejadian ini berlaku di sini,” katanya lagi.

Sejak semalam tular rakaman video berdurasi 22 saat di media sosial memaparkan zink bumbung deretan kedai diterbangkan dalam kejadian pada 1.30 tengah hari.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS