Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan dia menerima saman yang difailkan oleh bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.
Katanya, surat tuntutan saman oleh bekas bendahari Umno itu antara lain menyatakan mengenai tindakan SPRM yang didakwa tidak mengikut prosedur.
Azam berkata demikian semasa hadir sebagai tetamu pada sesi dialog Integriti: Sejauh mana ketelusan dinilai? yang disiarkan stesen televisyen milik kerajaan Sarawak, malam tadi.
“Baru-baru ini saya kena saman oleh Tun Daim.
“Daim saman saya kerana padanya tindakan ketua pesuruhjaya itu adalah salah.
"Saya tak boleh dedahkan maklumat (mengenai tindakan saman itu) kerana kes itu sudah masuk mahkamah," katanya.
Jumaat lalu, peguam Daim berkata kenyataan dibuat pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai bekas menteri kewangan itu sebagai tidak wajar.
Menurut Rajesh Nagarajan, kenyataan Azam bahawa SPRM mengesyaki Daim mungkin mempunyai lebih banyak harta yang belum diisytiharkan kepada pihak berkuasa adalah sangat memudaratkan hak perlembagaan bekas menteri kanan itu untuk mendapat perbicaraan yang adil kerana kes mahkamahnya masih berjalan.
Katanya, kenyataan itu secara konsisten menyiratkan atau menyatakan secara jelas bahawa Daim bersalah, dan dengan jelas mengabaikan anggapan tidak bersalah yang menjadi asas kepada sistem keadilan negara ini.
"Selain kenyataan secara langsung, terdapat juga kebocoran yang tidak berkesudahan melalui apa yang dinamakan sebagai 'sumber', SPRM dan sebagainya,” kata peguam itu.
Sehari sebelumnya, Azam berkata SPRM mungkin memanggil Daim untuk disoal siasat semula untuk membuat pengesahan mengenai harta-harta yang tak diisytiharkan.
Azam bagaimanapun enggan mendedahkan lebih lanjut, tetapi sumber yang rapat dengan siasatan itu menyebut antara aset lain yang disiasat ialah hartanah, saham dan akaun bank di Malaysia dan di luar negara.
Pegawai SPRM itu berkata pegawai penyiasat memerlukan lebih banyak masa memandangkan suruhanjaya itu memerlukan bantuan daripada agensi berkaitan di luar negara.
Seminggu sebelum itu, Daim didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana gagal mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan hartanya. Ini meliputi 38 syarikat, 25 unit hartanah, tujuh kenderaan mewah, dan dua akaun dana pelaburan.
Dia membuat pengakuan tidak bersalah.
Selain itu, SPRM berkata mereka juga meneruskan siasatan lain terhadap jutawan itu atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.