Dr Mahathir Mohamad mengakui dia risau memikirkan nasib anaknya Mirzan, yang kini disiasat dalam tindakan yang didakwanya terpilih oleh pihak berkuasa.
Bekas perdana menteri berkata, notis arahan pengisytiharan harta yang berikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini sebagai tidak masuk akal.
Hal itu kerana, katanya, Mirzan, perlu menjelaskan sumber aset yang diperolehinya sejak 42 tahun lalu dalam tempoh yang begitu terhad.
"Risaulah... sebagai anak saya, dia bagi tahu dapat notis dan suruh dia jelaskan segala transaksi yang dia buat sejak dia berusia 20 tahun.
"Yang tu dia kena jawablah dia boleh jawab atau tidak dalam tempoh 30 hari.... 42 tahun punya transaksi kena jawab 30 hari," katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, petang ini.
Menurut Mahathir untuk membolehkan anaknya yang berusia 66 tahun itu memberi penjelasan, banyak pihak yang perlu dihubungi.
"Dia kena tanya bank, Petronas, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), korek pejabat dia sebab kena tunjuk bahan bukti," katanya lagi.
Pada 18 Jan lalu, SPRM telah menyerahkan perintah notis kepada Mirzan untuk dia mengisytiharkan semua asetnya dalam tempoh 30 hari berhubung maklumat dalam Kertas Panama.
Notis kepada ahli perniagaan itu disampaikan mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 yang mengkehendaki dia mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih dalam tempoh 30 hari.
Aset tersebut termasuk yang berada di luar negara.
Mahathir berkata dia tahu apa yang dilakukannya selama ini dan mendakwa ada pihak yang mahu dia disumbat ke penjara.
"Saya tahu apa saya lakukan... saya takut, takut kena penjara. Saya dah umur 98, masuk penjara, mati dalam penjaralah.
"OK-lah kalau dah mati tiada siasatan lagi," katanya secara sinis.
Dalam pada itu, Mahathir yang juga bekas ahli Parlimen Langkawi turut mempersoal tiada siasatan dilakukan terhadap adik kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM iaitu Nasir Baki.
Mahathir juga turut membidas peguam negara yang tidak memberi penjelasan berhubung keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan dihadapi pada Sep tahun lalu.
"Anak saya kena cerita dia punya perniagaan dia... harta dia mesti dijelaskan bermula tahun 1981 hingga ke sekarang.
"Pasal apa adik Azam Baki tak disuruh jelas dari mana dia dapat duit...patut siasatlah (juga)," katanya lagi.