Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ti: DAP 'kelemahan terbesar' kerajaan perpaduan
Diterbitkan:  Jan 8, 2024 11:43 AM
Dikemaskini: 3:43 AM

Senator Ti Lian Ker menyuarakan pandangannya dalam perselisihan antara pemimpin senior DAP dan MCA, dengan mengatakan bahawa MCA sememangnya berada dalam dilema, tetapi masalah yang lebih besar adalah kedudukan parti pesaingnya, DAP dalam kerajaan hari ini yang lebih 'membingungkan'.

Bekas naib presiden MCA dalam kenyataannya semalam, berkata, DAP adalah “tumit Achilles” yang menjadi kelemahan terbesar kerajaan hari ini di sebalik adalah parti dengan bilangan kerusi parlimen terbanyak tetapi tidak dipercayai oleh pengundi-pengundi Melayu.

"MCA sememangnya sedang berada dalam dilema di persimpangan jalan. Ini adalah kali kedua MCA terpaksa berdepan situasi sebegini apabila MCA kalah teruk di tangan DAP dan rata-rata pengundi Melayu mulai tidak selesa dengan kemenangan besar DAP lebih-lebih lagi apabila DAP berjaya meraih sokongan yang besar daripada pengundi Cina.

"Ini menimbulkan kesangsian dalam masyarakat Melayu kerana DAP masih dilihat sebagai sebuah parti cauvinis Cina walaupun mengakui mereka adalah parti berbilang bangsa.

“Ini merupakan cabaran terbesar DAP dan juga cabaran terbesar bagi kerajaan gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dan juga DAP - walaupun menjadi parti terbesar dalam kerajaan perpaduan ini, mereka sebenarnya adalah "Achilles heel" ataupun titik kelemahan kerajaan perpaduan ini," katanya.

Memetik kisah mitologi Greek, 'tumit Achilles' merujuk kepada kelemahan terbesar sesuatu pihak di sebalik kekuatan mereka sehingga boleh menyebabkan kegagalan

Ti berkata bahawa hal ini amat ketara khususnya apabila gabungan BN/PH masih gagal memenangi undi popular Melayu dalam beberapa siri pilihan raya kecil sejak PRU 2022. Undi popular di kawasan Melayu berkurangan dan tidak mencerminkan jumlah keseluruhan undi diperoleh oleh BN dan PH dalam pilihan raya tersebut.

Pertikaian terbaru berlaku apabila Presiden MCA Wee Ka Siong menyerang kenyataan pemimpin DAP Teresa Kok yang mendakwa parti komponen BN itu sebagai "sesat" dalam satu wawancara ketika diminta mengulas mengenai hubungan semasa DAP dengan MCA sebagai parti dalam kerajaan.

Wee menegaskan bahawa MCA akan terus bersuara dengan kritikan yang membina terhadap kerajaan, bertentangan dengan dakwaan Kok bahawa parti itu tidak mahu bekerjasama dengan pentadbiran DAP atau Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Wee berkata bahawa tuduhan Kok yang mengatakan bahawa dia 'menyerang' Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, adalah fitnah, dengan menekankan bahawa walaupun dirinya mengkritik Loke sebagai penggantinya di Kementerian Pengangkutan, kedua-dua isu itu berkaitan dengan perkara yang melibatkan kepentingan awam - kebimbangan keselamatan data terhadap aplikasi MyJPJ, dan tambang penerbangan ke Sabah dan Sarawak.

Sejarah perseteruan

Menurut Ti, MCA pertama kali terkesan oleh DAP adalah ketika parti tersebut memperoleh kemenangan besar pada PRU 1969.

"DAP menang besar dalam PRU3 dengan manifesto menghapuskan hak istimewa bumiputera seperti dalam Deklarasi Setapak 1967 dan mengembalikan bahasa Inggeris dan bahasa ibunda sebagai bahasa rasmi seperti yang tercatat dalam Deklarasi Kebudayaan mereka.

"Semestinya deklarasi DAP mendapat sokongan besar majoriti pengundi Cina dan bukan Melayu kerana propaganda mereka adalah berdasarkan serta bertujuan memenuhi nafsu, naluri dan selera politik mereka," katanya.

Ti menambah, melalui propaganda ini, DAP berjaya mendapat kemenangan besar dan menambah jumlah kerusi mereka dari satu kepada 13 kerusi sementara parti pembangkang itu turut memenangi 50.7 peratus daripada keseluruhan jumlah undi, termasuk memenangi 49 kerusi di Dewan Rakyat.

"Kemenangan besar DAP pada masa itu telah menyebabkan ketegangan perkauman yang membawa kepada rusuhan perkauman pada 13 Mei 1969," dakwa Ti.

"Pada PRU15 yang lalu, DAP sekali lagi berjaya mencapai kemenangan besar dengan memenangi 40 kerusi parlimen yang juga merupakan bilangan kerusi terbesar dalam kerajaan perpaduan dan ini sedikit sebanyak menimbulkan kesangsian dan kecurigaan kepada pengundi Melayu.

"Mujur Umno dan BN telah bersetuju untuk menyokong kerajaan perpaduan demi kestabilan politik dan untuk meredakan ketegangan politik perkauman akibat kemenangan besar DAP di satu pihak dan kemenangan besar PAS di satu pihak yang lain," katanya.

Ti berkata realiti politik sebelum ini telah memaksa MCA menerima kerjasama dengan Umno atas nama Parti Perikatan walaupun dituduh oleh cauvinis Cina pada masa itu bahawa MCA telah menggadai hak kesamarataan dalam kerjasama MCA dan Umno.

"Hakikat politik juga memaksa MCA bekerjasama dengan Gerakan dan parti-parti pembangkang yang lain pada tahun 1969 demi meredakan ketegangan politik perkauman pada tahun 1969.

"Hakikat politik juga turut memaksa MCA untuk menyokong kerajaan perpaduan yang diterajui oleh Anwar Ibrahim pada PRU15 yang lalu demi menstabilkan politik negara yang terumbang-ambing disebabkan tohmahan politik dan provokasi politik dari parti DAP khususnya.

"Sekarang kepimpinan MCA sekali lagi terpaksa menerima hakikat politik bahawa DAP telah merampas peranan MCA dalam kerajaan dan DAP juga sudah mula mengikut skrip dan pendekatan politik MCA selama ini," dakwa Ti.

Dia berkata DAP kini sudah membuat ‘pusingan U’ dengan memeluk dan menyerah kepada perjuangan Umno.

"Bezanya, pengundi Melayu masih lagi curiga dan waspada terhadap kewujudan dan kekuatan politik DAP yang dominan dalam kerajaan perpaduan.

"Beza MCA dan DAP pula ialah MCA dipandang dan diterima sebagai satu parti yang sederhana dan juga pendekatan serta perjalanan politik MCA adalah berpaksikan kesederhanaan. MCA tidak pernah melaungkan retorik politik untuk menghapuskan hak bumiputera seperti yang termaktub dalam Artikel 153 perlembagaan persekutuan ataupun usaha ke arah itu.

"Hari ini, MCA terpaksa bekerjasama dengan DAP dan umum mengetahui pengundi tradisi MCA selama ini terdiri daripada sebilangan besar pengundi Melayu yang mendokong perjuangan MCA sebagai sebuah parti yang tidak radikal.

"Oleh itu, MCA dilihat akan kehilangan undi Melayu yang pada masa ini cenderung kepada PAS oleh kerana ketidakselesaan pengundi Melayu termasuk ahli Umno dengan DAP dalam gabungan kerajaan perpaduan ini," katanya.

Menurutnya, DAP masih tidak mengiktiraf pengorbanan MCA mengukuhkan kerajaan perpaduan tetapi lebih memilih untuk terus mengejek MCA sebagai parti yang hanya ada dua kerusi Parlimen yang bergantung atas sokongan pengundi majoriti Melayu.

"Oleh yang demikian, kenyataan Teresa Kok bahawa ‘MCA sesat’ adalah benar tetapi MCA tidak pernah mencaci, mengejek atau mengaibkan parti lawan dan tetap setia bersama rakan seperjuangan pada masa susah.

“MCA tidak pernah menangguk di air keruh ataupun hanya mencari rakan dan lawan mengikut kesenangan dan kesesuaian politik," kata Ti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS