Lantikan Mohamad Sabu sebagai presiden Amanah pada pemilihan parti Ahad lalu tiada kena mengena dengan soal mengambil hati, kata Dr Siti Mariah Mahmud.
Sebaliknya, menurut naib presiden Amanah itu, walaupun keputusan barisan ahli jawatankuasa pimpinan nasional Amanah bukan sebulat suara tetapi ia adalah keputusan bersama.
“Mohamad (Sabu) pengasas parti dan kita lihat beliau berjaya sehingga menjadi menteri.
“Ini penggal terakhir untuk beliau berkhidmat sebagai presiden dan lantikannya sebagai presiden tiada kena mengena dengan soal mengambil hati,” kata Siti Mariah yang dipetik akhbar Utusan Malaysia, hari ini.
Dia juga ditanya mengapa Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad yang meraih undi tertinggi dalam pemilihan itu gagal diangkat sebagai presiden.
“Kenapa bukan Dr Dzulkefly? Beliau adalah seorang pemikir, golongan T20 mungkin menyokong beliau tetapi berapa ramai faham ucapan dia?” soalnya.
“Ini bermakna pemilihan Mohamad sebagai presiden bukan isu ambil hati, tetapi lebih kepada complement each other (saling melengkapi satu sama lain).
“Betul, bukan semua setuju tetapi itu yang kita putuskan,” katanya.
Pada pemilihan itu, Dr Dzulkefly mendapat 900 undi perwakilan, lebih satu undi daripada bekas menteri wilayah persekutuan Khalid Abdul Samad yang meraih 899 undi.
Penyandang presiden Amanah Mohamad Sabu pula di tempat kelapan dengan 613 undi.
Siti Mariah seterusnya menjelaskan Mujahid Yusof yang kini dilantik sebagai timbalan presiden walaupun hanya meraih undi keempat tertinggi mempunyai tiga tahun untuk membina kekuatan parti sebelum mengambil tampuk tertinggi nanti.
Sebelum ini, ada yang menyuarakan Amanah tampak lebih relevan jika bukan lagi di bawah kepimpinan Mohamad kerana dilihat terus tidak mampu menarik hati pengundi Melayu.
“Kita perlu akui yang Amanah masih tidak menjadi pilihan tetapi mungkin dikenali. Itu secara asasnya.
“Kita bawa kesederhanaan dalam Islam, kita tidak kata kita sahaja yang betul, orang lain tidak betul.
“Kemudian, saya melihat bahawa selepas kita menang dan menjadi kerajaan, tidak pun sempat nak memperkenalkan Amanah, tiba-tiba menjadi kerajaan, sibuk mentadbir. Namun, saya yakin dalam masa tiga tahun ini kita akan atasi masalah itu,” katanya lagi.