Polis telah menahan tiga anggotanya atas dakwaan mencuri RM85,000 daripada sebuah premis di Kuala Lumpur.
Insiden itu didakwa berlaku ketika polis membuat operasi ke atas warga asing tanpa dokumen di sekitar Lebuh Pudu pada Khamis lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata pihaknya menerima laporan berkenaan perkara itu sehari kemudian.
"Dalam siasatan kes ini, pihak polis telah menahan seramai tiga anggota polis berumur lingkungan 26 tahun hingga 35 tahun yang dipercayai terlibat dalam kehilangan wang tunai seperti yang dilaporkan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, di mana kesemua individu yang ditahan direman selama empat hari mulai 23 hingga 26 Disember 2023," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut laporan, tiga anggota yang ditahan itu adalah dari Pasukan Gerakan Awam (PGA) di Selangor.
Mereka didakwa menemui wang tunai tersebut ketika melakukan pemeriksaan di sebuah kedai runcit, sebelum mengambil wang itu dan membahagikannya sesama mereka.
Menurut China Press, polis telah mendapatkan semula RM60,000 daripada wang tersebut.