Paling Popular
Terkini

Menteri Pengangkutan Anthony Loke menepis kritikan berhubung pertambahan barisan jemaah menteri berikutan pengumuman pagi ini mengenai rombakan kabinet dan penambahan pelantikan.

Bercakap pada sidang media, Setiausaha Agung DAP itu berkata tiada keputusan yang dibuat akan memuaskan hati semua pihak tetapi penekanan perlu diberikan kepada penggunaan sumber untuk kebaikan rakyat.

“Dengan apa jua keputusan, pasti ada pihak yang bersetuju, tidak bersetuju atau mengkritik. Itu sudah dijangka.

“Terdapat gesaan untuk menteri kewangan kedua, dan kini menteri kewangan kedua telah diwujudkan. Namun akan ada kritikan mengapa kabinet dibesarkan.

“Tetapi keputusan telah dibuat, adalah penting bagi kerajaan untuk memberi tumpuan kepada tugas dan untuk melaksanakan - memastikan terdapat pertumbuhan ekonomi yang lebih baik, dan penggunaan sumber.

“Taraf hidup rakyat mesti dinaikkan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur.

Pengumuman pagi ini menyaksikan pertambahan tiga menteri baru dilantik daripada 28 kepada 31 menteri.

Ia juga menyaksikan pelantikan dua lagi timbalan menteri meningkatkan jumlah daripada 27 kepada 29.

Loke berkata, ini masih rendah berbanding yang diamalkan dalam pentadbiran sebelum ini.

“Ia adalah sesuatu yang berada dalam duluan (precedent) dan dalam amalan kerajaan Malaysia sejak 10 hingga 20 tahun lalu.

"Saya fikir apa yang paling penting ialah menyampaikan kepada orang ramai dan sejauh mana kabinet dan kerajaan boleh memenuhi dan melaksanakan dasar kita," katanya.

Sementara itu, Loke menolak dakwaan bahawa partinya menerima manfaat paling besar dalam rombakan kabinet.

“Tidak benar untuk mengatakan bahawa kami paling dapat manfaat.

“Dari segi kenaikan bersih, ia hanya kenaikan satu jawatan tambahan. Begitu juga dengan Umno,” katanya.

Loke menegaskan Anwar telah mengambil kira komposisi semua parti komponen dalam kerajaan untuk diwakili dalam kabinet.

"Saya fikir secara keseluruhan, ia adalah pelarasan yang adil," katanya.

Ditanya mengenai pandangannya mengenai prestasi pemimpin DAP dalam kerajaan, dia berkata semua wakil rakyat dalam parti itu diletakkan jangkaan tinggi.

“Orang ramai terutama penyokong kita sendiri, meletakkan DAP pada taraf yang lebih tinggi daripada parti lain.

“Kami diteliti setiap hari. Setiap seorang daripada kami sedang diteliti. Jadi saya sentiasa mengingatkan wakil rakyat DAP, terutamanya mereka yang berada dalam kerajaan - sama ada menteri atau timbalan menteri - mereka perlu mengambil berat tentang jangkaan penyokong kita," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS