Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hassan: Lim tak salah, bukan Melayu memang boleh jadi PM

Anggota parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim menyatakan rasa kesalnya terhadap tindakan polis menyiasat ahli politik veteran DAP Lim Kit Siang kerana berharap orang bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri.

Wakil rakyat PKR berideologi kiri itu berkata dia tidak melihat kewajaran tindakan itu diambil.

“Apa yang tidak kena dengan kenyataanya?

“Saya Melayu dan saya juga orang Malaysia. Saya peguam, peguam bela dan peguam cara.

“Saya tahu undang-undang dan perlembagaan Persekutuan. 

“Dan saya tegaskan bahawa perlembagaan kita tidak menyebut hanya Melayu boleh jadi perdana menteri,” katanya.

Lim Kit Siang

Memetik Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, katanya, sesiapa sahaja selagi menjadi rakyat Malaysia, kita kira bangsa atau agama boleh menjadi perdana menteri.

Peruntukan itu meletakkan tiga syarat untuk menjadi perdana menteri, iaitu menjadi anggota parlimen, mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat dan diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Terdahulu Lim semasa ceramahnya kepada pelajar Malaysia di United Kingdom berharap tidak lama lagi terdapat bukan Melayu menjadi perdana menteri.

Dia berkata demikian ketika mengulas bagaimana Barack Obama yang berkulit hitam dapat menjadi presiden Amerika Syarikat selepas lebih 230 tahun penubuhan negara itu.

Lim bagaimanapun berkata berkata buat masa ini, untuk orang bukan Melayu menjadi perdana menteri Malaysia adalah “kenyataan fakta” bukan “kenyataan realiti”.

Lim dijangka memberikan keterangan kepada polis di Petaling Jaya pada Rabu depan.

Sementara itu, Hassan menegaskan bahawa Malaysia adalah negara demokrasi dan progresif yang menolak sekatan seperti Apartheid dalam kepimpinan.

“Sebagai orang Melayu dan rakyat Malaysia yang patriotik, saya percaya Malaysia milik semua rakyat. 

“Kenyataan seperti ini tidak menghasut bawah Akta Hasutan 1948.

“Sebagai anggota parlimen, saya gesa dan nasihat polis tidak membuat masa dengan menyiasat Lim. 

“Menyebut kedudukan bukan Melayu atau Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan bukanlah hasutan,” katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS