PARLIMEN | Beberapa wakil rakyat menghalakan sasaran mereka kepada Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa selepas Kementerian Kesihatan (KKM) menggugurkan peruntukan berkaitan larangan penjualan produk tembakau dan rokok serta larangan merokok bagi warga yang lahir selepas 1 Januari 2007, daripada Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang hari ini mendakwa Zaliha dan KKM tunduk kepada pelobi dan pemain industri tembakau sehingga menggugurkan peruntukan itu - yang lebih "generasi penamat" (GEG) - daripada RUU tersebut.

Kritikan itu walaupun setelah Zaliha semalam menjelaskan satu-satunya sebab ia digugurkan adalah kerana Pejabat Peguam Negara (AGC) berpandangan ia "tidak berperlembagaan".

Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) ketika membahaskan RUU itu hari ini mengingatkan Zaliha bahawa penggubal undang-undang adalah ahli parlimen, bukannya AGC.

"Tentang Perkara 8 (yang menjamin kesaksamaan di sisi undang-undang)...pihak yang boleh tafsirkan undang-undang itu bukan AG tetapi hakim di mahkamah.

Hassan Abdul Karim

"Kalau kita buat salah dan ia bercanggah dengan undang-undang, pihak lain boleh bawa ke mahkamah dan cakap undang-undang (yang diluluskan) di parlimen adalah ultra vires (melangkaui bidang kuasa).

"Mahkamah yang tentukan, bukan AG sebagai gatekeeper. Kalau macam ini, tak payah ada parlimen. Biar AG dan kabinet saja yang buat undang-undang," katanya.

Hassan juga menyuarakan kekecewaannya apabila kerajaan mengugurkan peruntukan itu tanpa 'berjuang'.

"Kita sebagai ahli politik nak selamatkan generasi akan datang. Maknanya, kalau ada pihak yang setuju, kita (tetap perlu) bawa (RUU dan peruntukan GEG).

"Bukan semua dalam parlimen sokong, akan ada yang menentang.

"Tetapi dengan sukarela kita gugurkan (peruntukan tersebut)...Belum bincang, sudah tarik diri. Kita kalah dengan pelobi dari industri tembakau yang besar," katanya lagi.

Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) juga menyuarakan sentimen yang sama.

Suhaimi menggesa Zaliha untuk "berkata benar" tentang sebab peruntukan itu digugurkan.

"Jika ada pertikaian dibangkitkan yang GEG boleh dicabar (di mahkamah) kerana tidak memberi kesaksamaan kepada rakyat, maka kenapa (hujah) kepentingan kesihatan awam tidak digunakan untuk mempertahankan peruntukan GEG dalam RUU?" soalnya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS