Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siasatan kes curi babitkan pegawai, anggota polis dirujuk ke IPK P Pinang
Diterbitkan:  Nov 17, 2023 3:11 PM
Dikemaskini: 7:11 AM

Polis sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung tangkapan seorang pegawai dan enam anggota sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selangor berkaitan kes kecurian pelbagai barangan di rumah seorang lelaki di Air Itam, di George Town baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut V Saravanan berkata kertas siasatan itu telah dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

“Kita sudah melakukan siasatan (kes ini) dan telah serahkan kertas siasatan kepada IPK…IPK kemudian akan rujuk kes ini ke Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Bukit Aman.

“Kes ini diserahkan ke Bukit Aman terlebih dahulu kerana ia membabitkan pegawai dan anggota sebelum dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan seterusnya,” katanya pada sidang media di IPD Timur Laut di George Town, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan seorang pegawai dan enam anggota polis yang bertugas di Selangor ditahan 10 Nov lepas bagi membantu siasatan kes curi di rumah seorang lelaki membabitkan kerugian lebih RM10,000.

Kesemua mereka berusia 31 hingga 55 tahun itu ditahan selepas mangsa yang juga tukang paip berumur 40 tahun membuat laporan.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin mengesahkan penahanan pegawai dan anggota polis itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS