Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Bekas ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan hari ini mencabar Pengerusi DAP Lim Guan Eng untuk menyaman BN berhubung dakwaan yang terkandung dalam buku kecil kempen pilihan raya umum ke-15 gabungan politik itu.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata risalah bertajuk, "Bahan Kempen Komunikasi BN" turut menyertakan dakwaan serupa yang dibuat oleh Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Mohamad baru-baru ini, mengaitkan pemimpin DAP dengan bekas pemimpin komunis Ong Boon Hua, yang lebih dikenali ramai sebagai Chin Peng.

"Dalam dokumen rasmi ini dicetak...menyatakan bahawa kaitan DAP dan Parti Komunis ini.

"Muka surat 129 dan 130, ada topik fahaman komunis," kata Wan Saiful bersama bekas Ketua Pemuda Umno Seremban Zool Amali Hussin pada sidang media di parlimen hari ini.

Zool Amali, kini ahli PAS berkata buku kecil itu diedarkan kepada semua jentera Umno sebelum hari penamaan calon PRU15 tahun lalu.

Wan Saiful kemudiannya membacakan petikan daripada buku kecil tersebut mengenai "sejarah keluarga Chin Peng" yang menyebut penasihat DAP Lim Kit Siang dan bekas perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew adalah "sepupu".

Katanya buku kecil BN itu turut menyebut pemimpin DAP lain yang disebut Mastura sebagai mempunyai kaitan kekeluargaan antara satu sama lain dan dengan Chin Peng.

"Jadi yang nak saya sebut di sini, ini bukan satu isu yang ditimbulkan oleh PN semata-mata.

"Asal-usulnya adalah dari sini. Sekiranya ada apa-apa tindakan yang hendak diambil, saya menggesa pihak dari DAP ini untuk berlaku adil, nak ambil tindakan undang-undang, pastikan ambil juga terhadap yang mencetak dan mengedarkan buku ini.

“Itu isu sebenarnya. Saya tertunggu-tunggu juga bila YB Bagan (Lim Guan Eng) hendak ambil tindakan undang-undang terhadap Umno dan BN terutamanya," kata Wan Saiful.

Semalam, Guan Eng mengesahkan dia telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Siti Mastura kerana mendakwa pemimpin DAP itu mempunyai kaitan dengan Chin Peng, selepas ketua sayap wanita muda (Ameerah) PAS itu enggan mengemukakan "bukti" atas tuduhannya itu.

Terdahulu hari ini, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok turut mengesahkan dia akan menyaman Siti Mastura kerana memfitnah dalam masa terdekat selepas ahli parlimen PAS itu gagal menjawab surat tuntutannya.

Malaysiakini menghubungi Kok untuk mendapatkan penjelasan mengenai gesaan Wan Saiful supaya DAP mengambil tindakan terhadap BN.

Kok dalam jawapannya berkata, "tiada seorang pun pemimpin BN yang mengatakan perkara bodoh ini di khalayak ramai."

Katanya, dia dimaklumkan tentang buku kecil dan kandungannya itu berdasarkan hantaran Facebook terbaru oleh pemimpin Bersatu Badrul Hisham Shaharin.

Pelbagai laporan polis juga dibuat terhadap Siti Mastura, yang dipanggil untuk disoal siasat pada Selasa dan peguamnya kemudian berkata mereka telah menyerahkan "bahan rujukan" berhubung dakwaannya itu.

Bagaimanapun Wan Saiful enggan mengulas jika Mastura telah merujuk buku kecil BN itu sebagai sumber dakwaannya, yang juga boleh didapati di media sosial.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS