Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Menteri di Jabatan Perdana Menteri Armizan Mohd Ali berkata terpulang kepada Bersatu untuk mengemukakan rayuan selepas cabaran undang-undang parti itu untuk mengosongkan empat kerusi parlimen di Sabah gagal.

Ini selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Bersatu memulakan tindakan undang-undang terhadap Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul, Armizan selaku ahli parlimen Papar dan tiga ahli parlimen Sabah yang lain.

Bercakap kepada pemberita di Parlimen hari ini, menteri yang memantau hal-ehwal negeri Sabah dan Sarawak itu berkata Bersatu ada hak untuk mengemukakan rayuan.

"Itu hak mereka. Saya tidak perlu untuk mengulas sebagaimana pandangan saya tentang kes ini pun saya fikir tidak penting.

"Yang penting adalah keputusan dan juga sebab penghakiman yang telah dibuat oleh hakim bersandarkan kepada dua asas perundangan Perlembagaan Persekutuan Perkara 63.

"Dan juga duluan hakiman yang telah diputuskan oleh mahkamah tertinggi, Mahkamah Persekutuan sebelum ini bahawa prosiding di Parlimen ini, mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk menyemak sebarang keputusan yang dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat," katanya mengulas keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.

Bersatu hari ini gagal dalam cabaran undang-undang untuk mengosongkan empat kerusi parlimen Sabah.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi menafikan kebenaran untuk parti pembangkang itu meneruskan semakan kehakimannya.

Hakim Amarjeet Singh memutuskan bahawa mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mendengar cabaran undang-undang membabitkan keputusan Speaker Dewan Rakyat.

Permohonan semakan kehakiman itu difailkan oleh Naib Presiden Bersatu, Dr Ronald Kiandee dan Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya sebagai pegawai awam parti itu pada 17 April lalu.

Bersatu menamakan Johari dan empat ahli parlimen itu iaitu Armizan, Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang) sebagai responden pertama hingga kelima.

Empat ahli parlimen itu dipilih di bawah tiket GRS, yang sebelum ini bekerjasama dengan Bersatu.

Bagaimanapun, GRS menamatkan pakatannya dengan Bersatu selepas pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Mengulas lanjut, Armizan turut menggesa agar semua pihak akur dengan keputusan yang telah dibuat oleh hakim di Mahkamah Tinggi itu.

"Kerana keputusan itu bersandarkan kepada peruntukan undang-undang (dan) peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada. Apa cadangan lain, itu terpulang kepada mana-mana pihak," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS