Adun Moyog, Darell Leiking menggesa kerajaan persekutuan agar tidak melupakan rakyat tempatan apabila membuat keputusan untuk mengecualikan yuran pengajian bagi pelajar Palestin yang sedang menuntut di universiti awam di negara ini.
Katanya, ribuan pelajar universiti termasuk dari Sabah masih memerlukan bantuan dari segi yuran pengajian dan hal-hal berkaitan pendidikan.
“Jika kerajaan Madani berpendapat ini cara untuk membantu rakyat Palestin, mungkin ia harus melakukan perkara yang sama kepada rakyat Sabah yang terpaksa ke universiti di semenanjung kerana tempat di UMS (Universiti Malaysia Sabah) tidak mencukupi untuk warga tempatan kerana perkongsian sistem kemasukan untuk semua rakyat Malaysia.
"Rakyat Sabah terpaksa berjimat cermat dan mengumpul wang untuk menggaji di universiti (awam dan swasta) yang banyak di Semenanjung Malaysia," kata Timbalan Presiden Warisan itu dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Dia mengulas kenyataan Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin, semalam yang mengumumkan bahawa yuran pengajian untuk lebih 600 pelajar Palestin yang belajar di universiti awam di Malaysia akan dikecualikan selama setahun berkuat kuasa serta-merta.
Khaled menambah, kementeriannya juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak universiti swasta bagi memberi pengeculian yuran kepada lebih 200 pelajar Palestin yang sedang melanjutkan pengajian di institusi mereka bagi tempoh setahun.
Mengulas lanjut, Leiking berkata dia berulang-kali telah diminta oleh rakyat Sabah untuk membantu mengurangkan bebanan mereka, kerana mereka tidak dapat mendapatkan biasiswa atau tempat di UMS.
"Mana-mana kerajaan harus mengutamakan rakyatnya sendiri terlebih dahulu dan rakyat Sabah (jika bukan semua warga Malaysia) harus diutamakan, tidak kira apa pun."
Leiking turut menggesa kerajaan negeri Sabah untuk menggunakan wang yang digunakan untuk memasang papan iklan berkaitan pentadbiran negeri, untuk membantu rakyat tempatan yang ingin melanjutkan pelajaran, tetapi tidak dapat berbuat demikian atas pelbagai sebab.
“Pendek kata, jika kerajaan Madani mahu membantu warga asing seperti Palestin, kenapa tidak berbuat demikian hanya selepas membantu rakyat Malaysia/Sabah dahulu?
"Jika kamu tidak suka pendapat saya, jangan pertikaikannya kerana bagi saya rakyat Sabah kita perlu didahulukan."