Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Majlis Ulama Indonesia gesa boikot produk berkaitan Israel

Majlis Ulama Indonesia dalam fatwa terbarunya menggesa umat Islam di negara itu agar mengelak transaksi dan penggunaan produk-produk yang berkaitan dengan Israel.

Pengerusi bahagian fatwanya Asrorun Niam Sholeh dalam satu kenyataan berkata menyokong pencerobohan Israel terhadap rakyat Palestin atau pihak yang menyokong Israel, sama ada secara langsung atau tidak, dianggap ‘haram’ (dilarang/haram).

Beliau juga menggesa agar kerajaan mengambil langkah tegas untuk membantu perjuangan Palestin melalui usaha diplomatik di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menekan Israel untuk menghentikan pencerobohan dan mengenakan sekatan.

Fatwa itu mencadangkan agar umat Islam menyokong perjuangan Palestin melalui pengumpulan dana kemanusiaan, menyatakan solidariti, berdoa untuk kemenangan dan menunaikan solat jenazah ghaib untuk umat Islam yang terkorban di Palestin.

Sementara itu, Jawatankuasa Penyelamat Kecemasan Perubatan (MER-C) Indonesia menggesa Presiden Joko Widodo untuk membincangkan gencatan senjata di Gaza semasa pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden di Rumah Putih pada 13 Nov.

Permintaan itu disampaikan melalui satu surat terbuka pada Ahad yang menekankan keadaan genting, mengutuk serangan Israel yang menyebabkan kematian orang awam dalam serangan selama 36 hari di Gaza - dan keadaan di Hospital Indonesia semakin kritikal selepas menjadi sasaran serangan.

Pengerusinya Dr Sarbini Abdul Murad menulis: "Pada masa ini, tiga sukarelawan MER-C Indonesia berada di Hospital Indonesia di Gaza untuk menyampaikan bantuan yang diamanahkan oleh rakyat Indonesia kepada penduduk di kawasan ini."

Beliau berkata hospital itu bergelut untuk beroperasi dalam keadaan gelap dan kekurangan ubat-ubatan kerana ia satu-satunya tempat bagi penduduk di kawasan itu untuk mendapatkan perlindungan dan rawatan.

Pada Sabtu, Hospital Shifa dan Hospital Indonesia terputus bekalan elektrik apabila generator tidak berfungsi disebabkan kehabisan bahan api manakala generator di Hospital Al Quds tidak dapat dibaiki.

Dalam perkembangan lain, ribuan penduduk dari Jawa Barat mengambil bahagian dalam perhimpunan ‘Bekasi Bersama Palestin’, menyatakan solidariti dengan rakyat Palestin, berikutan perhimpunan serupa di Jakarta minggu lalu.

Mereka membawa sepanduk, menaikkan bendera Palestin dan mendengar ucapan daripada pelbagai pemimpin agama di bandar Bekasi yang menyokong pembebasan Palestin.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS