Sebuah pertubuhan aktivis Orang Asli mempersoalkan sama ada Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Sapiah Mohd Nor berniat menimbulkan pergeseran antara agensi kerajaan dan NGO Orang Asli.
Perkembangan ini hadir selepas Sapiah mendakwa terdapat NGO Orang Asli ‘dibayar’ oleh pihak luar untuk sengaja mencetuskan isu tanah melibatkan Orang Asli
Pengerusi Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor (JPOAJ) Dolah Tekoi meminta pengarah Jakoa itu menyokong dakwaannya dengan mendedahkan NGO terbabit.
“Kenyataan pengarah Jakoa itu seolah-olah ingin mewujudkan satu konfrantasi antara NGO dan Jakoa sedangkan kedua-dua pihak ini boleh saling bekerjasama dalam menyalur maklumat dan penyediaan pelan tindakan pembangunan tanah yang betul untuk Orang Asli, dan Jakoa sepatutnya bersama di pihak Orang Asli dalam menyalur cadangan dan tuntutan yang NGO kemukakan kepada kerajaan.
"Maka kami di JPOAJ merasa amat kecewa dengan kenyataan ketua pengarah Jakoa dan meminta beliau menyebut dengan jelas NGO mana yang ditaja dan dibayar bagi mencetus isu tuntutan tanah Orang Asli dan jangan hanya menuduh secara rambang," kata Dolah dalam satu kenyataan hari ini.
Tanpa menamakan mana-mana NGO atau pihak luar, Sapiah memberitahu Utusan Malaysia bahawa NGO dalam dakwaannya mengakui mereka akan kehilangan dana jika mereka tidak mencetuskan isu tanah.
Dolah menafikan dakwaan Sapiah, dengan menyatakan bahawa perjuangan NGO itu adalah untuk menuntut tanah adat mereka untuk masyarakat Orang Asli, dan bukannya keuntungan peribadi mereka.
"Perjuangan ini adalah atas dasar kesedaran oleh setiap individu Orang Asli akar umbi lalu kami bergabung untuk menubuhkan NGO sebagai landasan bersuara kearah perkara yang sama dan bukan atas dasar bayaran dari pihak luar seperti yang dituduh ketua pengarah Jakoa.
"Setakat ini kami tidak pernah dibayar atau ditaja oleh sesiapa pun untuk bersuara kerana perjuangan menuntut tanah ini dibuat demi kelangsungan bangsa kami yang diabai kerajaan sejak Malaysia merdeka," katanya.
Beberapa pertubuhan aktivis Orang Asli lain di seluruh negara turut menafikan dakwaan itu.
Isu tanah adalah antara masalah yang paling kerap disebut oleh masyarakat orang asli dan pada 30 Sept, penduduk kampung Orang Asli dari tiga penempatan membuat laporan polis mendakwa aktiviti pencerobohan tanah telah berleluasa berhampiran penempatan mereka.
Mereka mewakili kira-kira 1,000 Orang Asli Kelantan suku Temiar dari Pos Ber - yang tinggal di Kampung Cedal, Kampung Ber, dan Kampung Kerbok - serta Kampung Mendrod dan Ketua Kampung Pos Brooke.
Pakar undang-undang Orang Asli Bah Tony (Amani Williams-Hunt) memberitahu Malaysiakini tahun lepas bahawa masalah asasnya ialah tiada pengiktirafan sewajarnya terhadap hak tanah Orang Asli, mengakibatkan banyak pertikaian undang-undang.