Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penganalisis jangka OPR kekal 3 peratus pada 2024

Penganalisis menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.0 peratus menjelang 2024, selepas kadar semasa dilihat telah menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan di negara ini.

MIDF Research berpendapat persekitaran luaran akan terus mencabar pada tahun depan dalam keadaan ketegangan geopolitik, paras harga yang tinggi dan risiko kelembapan ekonomi global.

“Tinjauan ekonomi domestik diramalkan akan kekal berwaspada serta berdaya tahan dengan disokong oleh permintaan domestik yang stabil. Bagaimanapun, penstabilan kadar inflasi teras dan persekitaran luaran yang mencabar mungkin mempengaruhi BNM untuk mengekalkan OPR pada paras semasa sepanjang 2024,” katanya dalam satu nota semalam.

Ia berkata keputusan itu akan tertakluk kepada kestabilan pertumbuhan ekonomi, kadar kenaikan harga termasuk peningkatan selanjutnya dalam keadaan makroekonomi, terutamanya pasaran buruh yang menggalakkan dan permintaan dalam negeri yang semakin bertambah baik.

RHB Research juga tidak menjangkakan untuk melihat kenaikan kadar faedah di Malaysia tahun depan.

“Pandangan kami didorong oleh beberapa faktor utama seperti dolar AS-ringgit yang disatukan menjelang akhir 2024 serta kadar domestik kekal dinaikkan, yang akan mengecilkan perbezaan kadar faedah dengan pasaran maju,” katanya dalam satu nota.

Firma penyelidikan itu juga beranggapan bahawa ringgit mungkin mengukuh ke paras 4.50-4.70 berbanding dolar AS menjelang hujung 2024 (berbanding 4.80 pada akhir 2023).

“Ringgit mungkin menyaksikan penyatuan seawal yang pertama suku 2024 pada paras lebih kurang 4.60–4.70 bagi setiap dolar AS apabila latar belakang makroekonomi Malaysia bertambah baik pada separuh pertama tahun depan.

“Kami menjangkakan pergerakan positif terhadap dolar AS akan mengecil berbanding FX Asean pada 2024, yang kemungkinan akan diterjemahkan kepada kekuatan pertukaran asing Asean yang luas (termasuk ringgit) berbanding dolar AS,” katanya.

Selain itu, langkah-langkah penyatuan fiskal dan inisiatif Belanjawan 2024 yang diumumkan juga harus memberikan sedikit sokongan kepada ringgit pada 2024, tambahnya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS