Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ramasamy lancar tabung kutip RM1.52 juta untuk bayar Zakir Naik

P Ramasamy melancarkan kempen pendanaan awam (crowdfunding) untuk mengumpul RM1.52 juta selepas mahkamah memihak kepada pendakwah bebas, Dr Zakir Naik dalam saman yang difailkan terhadap bekas timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu.

Semasa sidang media di Sentul, Kuala Lumpur petang ini, bekas pemimpin DAP itu berkata dana berkenaan akan dikumpul secara telus dan sebarang lebihan akan digunakan untuk kebaikan orang ramai.

Ramasamy juga sekali lagi mengatakan peguamnya akan membuat rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

Dia menambah bahawa lima kenyataannya - yang diputuskan oleh mahkamah sivil mengandungi elemen fitnah - tidak diucapkan secara peribadi terhadap Zakir, sebaliknya dibuat bagi mempertahankan rakyat Malaysia.

"Saya akan terus bercakap bagi pihak yang tidak bersuara di Malaysia, sama ada Cina, India, Melayu, Iban (dan sebagainya)," kata Ramasamy.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memerintahkan Ramasamy membayar ganti rugi lebih RM1 juta kepada Zakir kerana memfitnah pendakwah bebas berkenaan.

Ganti rugi itu termasuk RM1 juta bagi ganti rugi am, RM100,000 untuk pampasan, RM100,000 untuk ganti rugi teruk, dan RM250,000 untuk ganti rugi teladan.

Hakim Akmal Abdul Aziz juga memerintahkan Ramasamy membayar kos RM70,000 kepada Zakir.

Defendan diperintah membayar ganti rugi itu kepada plaintif dalam tempoh 30 hari mulai hari ini.

Saman itu difailkan pada Oktober dan Disember 2019

Zakir memfailkan saman pertama terhadap Ramasamy berhubung empat kenyataan berunsur fitnah yang dikeluarkan oleh ahli politik itu pada 10 April 2016, 1 Okt 2017, 11 Ogos 2019 dan 20 Ogos 2019.

Fitnah itu dilakukan menerusi catatan di Facebook, dua artikel yang diterbitkan di portal Free Malaysia Today dan temubual dengan media berpangkalan di India, India Today.

Zakir juga memfailkan saman kedua berhubung artikel yang telah memfitnahnya melalui komen Ramasamy yang disiarkan dalam The Malaysian Insight pada 8 Nov 2019.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS