Syarikat China yang membekalkan mesin ventilator kepada Kementerian Kesihatan (KKM) ketika kemuncak penularan wabak Covid-19 pada 2020 menyerahkan mesin yang tidak mengikut spesifikasi yang diminta.
Perkara ini menurut transkrip keterangan saksi yang dipanggil Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam siasatannya terhadap pemerolehan kerajaan berkaitan pengendalian wabak Covid-19.
Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM Norazman Ayob berkata masalah ini berkenaan syarikat yang membekalkan barangan yang tidak dipesan kementerian itu.
"Ia bukan sangat tentang standard KKM. Malah, dalam pemerolehan ini, kita telah sediakan spesifikasi teknikal untuk ventilator kepada PLSB (Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd).
"Berdasarkan spesifikasi itu, yang saya percaya diserahkan PLSB kepada pembekal...tetapi apabila ventilator sampai, ia bukan apa yang kita pesan.
"Ini bukan masalah dengan fasiliti KKM. (Sebaliknya) ia isu...kita pesan epal (tetapi) dapat yang lain," katanya kepada PAC.
Baca: K'jaan rugi RM505j akibat vaksin tamat tempoh, kata PAC
Pada 16 Februari lalu, berdasarkan siri kedua Laporan Ketua Audit Negara 2021, KKM memesan 136 ventilator dengan harga RM20.1 juta di bawah peruntukan kecemasan. Namun sejumlah mesin itu didapati tidak boleh digunakan.
Ditempah dari syarikat luar negara, ventilator itu bertujuan meningkatkan aset perubatan di hospital kerajaan ketika penularan wabak Covid-19.
Laporan PAC yang dibuka untuk akses awam hari ini mendedahkan KKM memesan 136 ventilator daripada tiga pembekal, iaitu Entrol (Hong Kong) Trading Ltd, Hong Kong Smart Int. Investment Ltd dan Allied King Industrial.
Menurut lampiran PLSB dalam laporan itu, ia melibatkan tujuh model ventilator yang berbeza dari empat pengilang berbeza yang kesemuanya di China.
Daripada 136 ventilator, hanya 32 buah yang lulus proses pensijilan dan ujian selepas tiba di Malaysia.
Pemeriksaan itu dikendalikan oleh IDS Medical Systems (M) Sdn Bhd. Pengarahnya, Benjamin Low ketika memberi keterangan berkata, baki 104 ventilator yang diterima KKM malah tidak menepati spesifikasi yang diiklankan oleh setiap pengilangnya.
"Apabila pengilang mengeluarkan sesebuah mesin, mereka pastinya ada julat spesifikasi sendiri. Jadi, langkah pertama, pengilang perlu mengikut spesifikasi mereka sendiri.
"Namun, seperti yang kita lihat di sini, mesin-mesin ini (dibuat) tanpa mengikut julat spesifikasi pengilang sendiri," katanya ketika prosiding PAC pada 21 September lalu.