Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Berurut ketika mesyuarat bukan untuk singgung sesiapa - Bos AirAsia
Diterbitkan:  Oct 19, 2023 10:18 AM
Dikemaskini: 2:18 AM

Ketua pegawai eksekutif (CEO) AirAsia Tony Fernandes menjawab kritikan terhadap hantarannya di Linkedin berhubung gambarnya tidak memakai baju dan sedang diurut semasa mesyuarat di Indonesia.

Fernandes memberitahu Malaysiakini bahawa dia tidak bermaksud untuk menyinggung perasaan dengan hantaran itu, yang kini telah dipadam.

“Saya minta maaf jika ada yang tersinggung.

"Seseorang itu perlu memahami budaya kerja syarikat penerbangan kami," katanya.

Fernandes berkata dia berasa letih selepas tiga penerbangan.

“Ia adalah mesyuarat pengurusan mini. Saya letih dan kesakitan.

“Jadi saya bertanya kepada mereka yang hadir sama ada mereka tidak keberatan jika saya berurut dan tiada yang membantah.

"Saya mahu menunjukkan (dengan hantaran itu) bahawa kita boleh melakukan pelbagai tugas tetapi ia telah diambil di luar konteks," tambahnya.

Dalam catatan 16 Okt, Fernandes menulis bahawa ia adalah "minggu yang banyak tekanan".

"Saya harus mencintai budaya Indonesia dan AirAsia sehingga saya boleh berurut dan melakukan mesyuarat pengurusan,

"Kami mencapai kemajuan besar dan saya kini telah memuktamadkan struktur Modal A. Hari-hari mendatang yang menggembirakan. Berbangga dengan apa yang telah kami bina dan tidak pernah melupakan sasaran," tambahnya.

Hantaran itu mengundang kecaman, tetapi ada juga yang mempertahankan bos Air Asia itu.

Kontroversi itu turut menarik perhatian media antarabangsa yang meluas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS