Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
  • Dikemas kini dengan olahan semula berita dan tambahan maklumat.

Pemandu lori di pelbagai negeri berdemonstrasi hari ini bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita berpuluh-puluh lori lebih muatan.

Mereka berkumpul berdekatan pejabat JPJ di Seremban, Negeri Sembilan; Seberang Jaya, Pulau Pinang; Kota Bharu, Kelantan; dan Kuantan, Pahang bagi menyerahkan memorandum bantahan.

Rata-rata memorandum menyentuh isu yang sama iaitu mahukan had muatan ditambah bagi membolehkan mereka mengangkut lebih banyak barang.

‘Hukum, bukan didik’

Di Indera Mahkota, Kuantan, pemandu menganggap operasi JPJ semata-mata untuk menghukum, bukan mendidik.

Mohd Irwan Shah Brahim, 38, berkata pemandu-pemandu lori sekitar Pahang tidak tahan lagi dengan tekanan JPJ.

"Setiap kali tukar pemerintahan, kami cuba menyuarakan, kami cuba menyokong, tetapi mereka (kerajaan) sentiasa mencari kesalahan kami. 

"Rakyat sedang tertekan, tolong pandanglah, jangan double standard atau pilih kasih,” katanya.

Seorang pemilik lori, N Gunasilam, 51, mendakwa lorinya sudah disita hampir enam bulan oleh JPJ Pahang dan akan disita walaupun sudah membayar kompaun.

"Sekarang saya kena bayar kompaun, lepas bayar (kompaun) mereka cakap lori milik saya akan dilelong pula,” katanya.

JPJ dalam kenyataan pada 18 September lalu memaklumkan, tindakan menyita kenderaan berat baru-baru ini dibuat kerana membawa muatan melebihi sehingga hampir 140 peratus daripada had dibenarkan.

Tindakan itu diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), bersandar kepada prosedur mengikut akta berkenaan.

Seorang lagi pemilik lori, Marutha Selvam, 49, pula berpandangan kerajaan perlu lebih prihatin dengan nasib pemandu lori yang semakin tertekan sejak awal tahun ini. 

Katanya, kos penyelenggaraan kenderaan itu meningkat dan operasi penguatkuasaan oleh JPJ yang terlalu tegas menambahkan lagi bebanan untuk mereka. 

"Kalau bawa lebih muatan, kena sita, kena penjara. Ini undang-undang terlalu berat untuk kami. 

"Kalau saya tak mampu bayar kompaun, kena masuk penjara, bila orang tanya kenapa masuk (penjara), sebab bawa lebih muatan. 

"Ini sangat pelik, orang lain masuk penjara sebab jenayah, pemandu lori sebab bawa lebih muatan dan lepas itu apa jadi, anak saya orang panggil anak banduan," katanya. 

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin ketika ditemui mengesahkan menerima memorandum bantahan dan memaklumkan perkara itu akan dibawa ke peringkat atas untuk diteliti kerana ia membabitkan dasar kementerian. 

‘Lori kosong pun tahan’

Sementara itu, di Seremban, kira-kira 200 pemandu dan pengusaha turut berhimpun di Plaza Tol Senawang dan bergerak ke Pejabat JPJ Negeri Sembilan di Jalan Seremban-Tampin menyerahkan memorandum bantahan.

Seorang pemandu lori, Norddin Sidek, 45, berkata, dia meminta supaya pihak JPJ bersikap lebih bertimbang rasa dalam kerana “pemandu lori bukan gaji besar”.

“...tetapi jika setiap bulan perlu membayar saman bagaimana mahu menyara keluarga, satu saman sahaja sudah RM350 sampai bila macam ini. 

“Saya tidak boleh tahan, hari-hari ada operasi disasarkan kepada kami, lori kosong pun mereka tahan,” dia dipetik sebagai berkata.

Tersepit

Di Pulau Pinang, bantahan itu disampaikan oleh Persatuan Pengusaha-Pengusaha Kecil Kenderaan Perdagangan Wilayah Utara. 

Pengerusinya, Muhammad Daniel Abdullah, berkata pemandu lori sudah tersepit untuk keluar mencari rezeki memandangkan kerap ditahan JPJ.

"Memang sebelum ini pun ada operasi begini, namun akhir-akhir ini tindakan lebih drastik oleh JPJ sampai ada lori yang kena sita, dipotong mata demerit dan ada lesen kena gantung.

"Jadi kami pun sudah tak tahu nak buat apa, jadi mengambil langkah menghantar tujuh tuntutan antaranya memohon JPJ melihat semula tindakan sedemikian," dia dipetik sebagai berkata selepas menghantar memorandum di luar pekarangan JPJ Pulau Pinang.

Persatuan mohon dialog terbuka

Di Kota Bharu, memorandum disampaikan oleh Persatuan Pengusaha dan Pemandu Lori Kelantan, Azam Daud kepada Pengarah JPJ negeri, Mohd Misuari Abdullah.

"Kami adalah pengusaha yang terbabit dalam sektor pengangkutan di Kelantan dengan secara tidak langsung turut berperanan dalam memajukan pertumbuhan ekonomi negeri.

"Sejak awal bulan ini, operasi penguatkuasaan yang dibuat semakin ketat sekali gus menjejaskan punca pendapatan kami.

"Kami menyerahkan tujuh tuntutan untuk dilihat oleh pengurusan atasan JPJ," dia dipetik sebagai berkata.

Dia juga memohon dialog terbuka antara wakil kerajaan dengan wakil persatuan bagi mencari penyelesaian.

Dilayan macam penjenayah, kata Ibrahim 

Di Kuala Terengganu, perhimpunan sama diketuai oleh Persatuan Pengusaha Kecil Kenderaan Perdagangan Pantai Timur.

Wakilnya Ibrahim Mamat mendakwa operasi bersepadu JPJ dan polis dibuat secara melulu menyebabkan pengusaha dan pemandu lori hilang punca pendapatan.

“Situasi ini meletakkan golongan pengusaha dan pemandu lori semakin tertekan dengan tindakan penguatkuasaan yang seolah-olah melayan kami yang sedang bekerja seperti penjenayah.

“Antara tuntutan kami ialah pelepasan had muatan, pengurangan waktu operasi, tindakan saman terhadap pengilang dan pelombong, kenaikan sewa kenderaan perdagangan dan menghapuskan sistem saman demerit.

“Jadi kami sepakat untuk mogok dan tidak bekerja selama seminggu dan berharap pihak berkuasa atau kerajaan memberi perhatian terhadap rintihan pemandu lori,” dia dipetik sebagai berkata.

Ahad lalu, perhimpunan sama diadakan di Terengganu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS