mk-logo
Berita
Operasi bendung jenayah hidupan liar: Nilai rampasan lebih RM40juta
Diterbitkan:  Oct 7, 2023 9:09 PM
Dikemaskini: 1:09 PM

Sebanyak 192 kes direkodkan menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dijalankan bagi membendung perdagangan, pencerobohan dan perburuan hidupan liar tanpa permit sejak Januari hingga September tahun ini berbanding 206 kes bagi tempoh sama, tahun lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali berkata seramai 175 individu turut ditahan menerusi operasi berkenaan sejak Januari hingga September tahun ini berbanding 243 orang bagi tempoh sama, tahun lepas.

"Operasi (OBK) yang dilancarkan pada suku tahun ketiga 2019 itu berjaya menonjolkan aspek penguatkuasaan amat efektif sepanjang dilaksanakan bagi membendung perdagangan, pencerobohan dan pemburuan hidupan liar secara haram," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat OBK Siri ke-14 bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) hari ini.

Ketua Polis Negara (KPN), Razarudin Husain merasmikan Biro Jenayah Hidupan Liar/ Perisikan Siasatan Khas (PSK) bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) JKDM Datuk Sazali Mohamad dan Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Hazani berkata rampasan barang kes OBK sejak Januari hingga September tahun ini berjumlah RM40.282 juta.

Ia menurun 53.16 peratus berbanding RM85.996 juta dicatatkan dalam tempoh sama pada 2022.

"Statistik ini membuktikan kejayaan signifikan sepanjang operasi berkenaan berlangsung selain memberi impak positif dalam pemuliharaan flora dan fauna negara,” katanya.

Sementara itu, Abdul Kadir berkata bagi operasi rondaan hutan, sebanyak sembilan siri operasi rondaan di lapangan dilaksanakan setakat bulan lepas di Semenanjung.

Beliau berkata hasil daripada rondaan, sebanyak 181 jerat hidupan liar dan 47 khemah pendatang tanpa izin telah berjaya dimusnahkan selain mengenal pasti 36 kesan tebangan pokok karas dan 485 kesan pencerobohan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS