Switzerland memutuskan untuk tidak menerima pakai sekatan Kesatuan Eropah (EU) terhadap China yang dikaitkan dengan penindasan terhadap minoriti Uighur, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Sekretariat Negeri Hal Ehwal Ekonomi di Bern mengesahkan pada Ahad mengenai laporan di akhbar NZZ am Sonntag bahawa kerajaan Switzerland tidak akan melaksanakan sekatan ke atas China.
Keputusan itu dibuat selepas menimbang pelbagai dasar luar dan kriteria undang-undang, menurut jabatan itu.
EU mengenakan sekatan ke atas beberapa individu China dan sebuah agensi keselamatan pada Mac 2021 kerana mendakwa negara itu terlibat dalam penahanan beramai-ramai serta layanan buruk ke atas penduduk Islam Uighur dan minoriti Islam lain.
Beijing kemudian membalas dengan mengenakan sekatan terhadap ahli politik dan institusi di EU.
Amerika Syarikat juga mengenakan pelbagai sekatan ke atas Beijing berhubung layanan terhadap warga Uighur.
Kerajaan Switzerland, yang bukan anggota EU, memutuskan pada penghujung tahun 2022 untuk tidak mengambil langkah yang sama, tetapi tidak memaklumkannya secara terbuka sehingga dilaporkan oleh NZZ am Sonntag.
- Bernama-dpa