Potal dalam talian, TV Pertiwi menegaskan tidak akan menurunkan enam kandungan yang didakwanya diminta diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
"Kerana kami tidak dinyatakan apakah kesalahan dan pelanggaran undang-undang yang terkandung dalam kandungan tersebut.
"Sehubungan itu, TV Pertiwi meletakkan beban pembuktian yang kukuh ke atas pihak SKMM," kata Ketua Pegawai Operasinya Mohd Firdaus Salleh (gambar, bawah) pada satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, satu pertemuan telah diadakan antara pihak TV Pertiwi dan SKMM pada 22 Ogos 2023 di MRCB Sales Gallery, Kuala Lumpur pada jam 5 petang.
"TV Pertiwi telah memberi ruang kepada pihak SKMM untuk memberi penjelasan di atas tindakan SKMM menyekat laman web tvpertiwi.com.my.
"SKMM tidak memberikan jawapan terperinci apakah kesalahan yang telah dilakukan oleh TV Pertiwi," katanya.
Mohd Firdaus pada kenyataannya juga turut menyenaraikan judul enam kandungan yang dikatakan menjadi subjek siasatan SKMM:
DAP sambung usaha hapus ketuanan Melayu
Kit Siang dapat anugerah tanpa jasa, pancing undi Melayu
DAP mahu sebar agenda liberal dan kristianisasi
Kerajaan dan penyokong Anwar takut Melayu bangkit?
'Jom Ziarah Gereja': anjuran NGO di bawah KBS, sasar belia Muslim
Perkahwinan antara orang Islam dan bukan Islam tidak dibenarkan
Pada 18 Ogos lalu, semakan menerusi hasil ping ke alamat tvpertiwi.com.my menunjukkan terdapat penyekatan DNS dengan data memaparkan IP Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), iaitu 175.139.142.25.
Susulan sekatan terhadap TV Pertiwi, SKMM berkata pihaknya cuma menjalankan kewajipan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi menghalang perlakuan atau percubaan melakukan kesalahan, terutama yang berkaitan dengan maklumat salah atau tidak tepat.
SKMM ketika itu tidak memberikan penjelasan khusus berkaitan kesalahan atau percubaan melakukan kesalahan yang dimaksudkannya.
Terdahulu, TV Pertiwi juga disekat di TikTok dan jurucakap platform itu berkata sekatan dibuat kerana akaun terbabit berulang kali melanggar garis panduan komunitinya.
Langgar piawaian TikTok
Pelanggaran itu, katanya, melibatkan kandungan yang mengandungi maklumat salah yang berbahaya dan boleh menimbulkan kemudaratan.
Tidak jelas siaran TV Pertiwi mana yang telah melanggar piawaian komuniti TikTok.
TV Pertiwi dimiliki Kerengga Merah Sdn Bhd.
Ia beroperasi daripada tempat yang sama dengan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma). Pengerusinya Norzila Baharin juga pernah berkhidmat sebagai naib ketua Wanita NGO itu.
Berpangkalan di Bangi, media yang dilancarkan pada 2021 itu menyiarkan laporan dalam bentuk teks dan video dalam bahasa Malaysia.