Paling Popular
Terkini

BLOG | Para pengundi PRN di enam negeri serta PRK Kuala Terengganu akan membuang undi bermula jam lapan pagi hingga enam petang ini.

Ikuti laporan langsung dari pasukan Malaysiakini yang membawa kepada anda perkembangan terkini sepanjang hari ini.


Terima kasih ikuti laporan Mkini

6 petang - Terima kasih kerana mengikuti laporan langsung Malaysiakini. Pengundian untuk enam pilihan raya negeri telah ditutup.

Sertai kami sebentar lagi untuk liputan langsung mengenai keputusan pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK) parlimen Kuala Terengganu.

Sejak 1999, liputan Malaysiakini untuk pilihan raya diberikan secara percuma untuk membantu pengundi membuat keputusan termaklum.

Bantu kami kekal berdikari dengan melanggan Malaysiakini sekarang. Klik pautan di sini.


Kiraan bermula, undian ditutup

6 petang - Pengundian bagi enam pilihan raya negeri (PRN) melabuhkan tirainya.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), setakat jam 4 petang tadi Terengganu paling tinggi dengan 70 peratus keluar undi.

Peratusan keluar mengundi di Kedah (68 peratus), Pulau Pinang (67 peratus), Selangor (65 peratus), Negeri Sembilan (62 peratus).

Kelantan mencatat peratusan keluar mengundi paling rendah dengan 56 peratus.

Sementara itu, PRK Kuala Terengganu merekodkan 67 peratus.

Sebanyak 3,190 pusat pengundian yang mengandungi 17,048 tempat atau saluran mengundi sempena PRN di enam negeri, dibuka bermula 8 pagi tadi.

Turut dibuka ialah 41 pusat mengundi membabitkan 217 tempat atau saluran mengundi bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu.

Dalam perkembangan berkaitan, SPR memaklumkan peratusan keseluruhan keluar mengundi selepas waktu mengundi tamat akan dikemaskini dalam kenyataan media pada lewat malam nanti.


Warga emas meninggal sejurus celup jari dalam botol dakwat

5.15 petang, Tampin, Negeri Sembilan - Seorang wanita meninggal dunia ketika hendak melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Rokan, Gemencheh, di Tampin pagi tadi, lapor Bernama.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Anuwal Ab Wahab berkata warga emas berumur 83 tahun itu dikatakan tiba-tiba terjatuh dan tidak sedarkan diri sejurus selepas dia mencelup jari ke dalam botol dakwat sebelum mengundi, dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu.


Calon PN dakwa kertas undi olok-olok diedar

5:00 petang: Seberang Jaya, Pulau Pinang - Calon Perikatan Nasional Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah dilaporkan mendakwa kertas undi olok-olok diedarkan berhampiran khemah yang didirikan Pakatan Harapan di pusat mengundi.

Menurut laporan Sinar Harian, katanya perbuatan itu melanggar Seksyen 3(1)(j) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana mencetak kertas undi tanpa kebenaran, dan Seksyen 24B akta sama kerana berkempen di luar tempoh berkempen.

Izhar berkata dia bercadang melaporkan kejadian itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dan polis, menurut laporan itu.


Peratusan keluar mengundi di Selangor melonjak ke 65%

4.55 petang: Peratus keluar mengundi di Selangor melonjak daripada 58 peratus kepada 65 peratus setakat pukul 4 petang dengan baki dua jam lagi tamat pengundian.

Pulau Pinang juga mencatatkan peningkatan 7 peratus daripada 60 peratus kepada 67 peratus.

Kedah mencatatkan peratusan keluar mengundi 68 peratus, Negeri Sembilan 62 peratus, manakala Kelantan 56 peratus.

SPR mengumumkan tiada lagi kemas kini jumlah keluar mengundi sehingga pengundian ditutup jam 6 petang, dan kadar keluar mengundi keseluruhan hanya akan dikeluarkan pada sidang media malam ini.

PRU DUN Ke-15

Kedah : 68%

Kelantan :56%

Terengganu : 70%

Pulau Pinang :67%

Selangor : 65%

Negeri Sembilan : 62%

PRK P.036 Kuala Terengganu : 67%


Sanusi tayang kertas undi bertanda kepada media

4:20pm: Sik, Kedah - Kwongwah Yitpoh melaporkan calon Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor menayangkan kertas undi yang bertanda kepada pihak media sebelum memasukkannya ke dalam peti undi. Menteri besar sementara itu mengundi di SK Bandar Baru Beris Jaya.

Laporan itu, yang turut menyiarkan gambar Sanusi dengan kertas undi yang dikaburkan menyatakan perkara itu bercanggah dengan Seksyen 5 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Undang-undang menetapkan, antara lain, bahawa tiada sesiapa boleh berkongsi maklumat yang diperolehi di pusat mengundi kepada pengundi lain. Kesalahan itu boleh dihukum penjara sehingga setahun, denda sehingga RM3,000, atau kedua-duanya sekali.

Kejadian serupa berlaku pada pilihan raya kecil Kuala Besut pada 2013, yang menyebabkan calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman ditegur Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya ketika itu Abdul Aziz Mohd Yusof, yang berkata tindakan itu tidak wajar kerana melanggar kerahsiaan undi.


4 petang: Peratusan pengundi keluar mengundi setakat jam tiga petang, menurut SPR:

  • Kedah: 63 peratus

  • Kelantan: 51 peratus

  • Terengganu: 64 peratus

  • Pulau Pinang: 60 peratus

  • Selangor: 58 peratus

  • Negeri Sembilan: 56 peratus

  • PRK Kuala Terengganu: 59 peratus


Didaftar sudah mengundi, wanita buat laporan polis

3.30 petang: Alor Setar, Kedah: Seorang wanita membuat laporan polis setelah dia tidak dapat mengundi kerana namanya sudah didaftar sudah berbuat demikian di DUN Lunas.

Menurut Rozana Mokhtar, 35, dia sebelum ini mengundi di DUN Gunung Semanggol di Perak dan hadir untuk mengundi buat kali pertama di pusat mengundi SK Taman Mahsuri di Alor Setar, Kedah pagi ini.

"Kali pertama mengundi di sini, jadi saya minta bantuan petugas untuk bantu saya pergi ke saluran yang betul iaitu saluran tiga. Kemudiannya, pegawai yang bertugas di bahagian pemeriksaan nama telah minta kad pengenalan saya.

"Apabila saya bagi, dia terkejut dan maklumkan bahawa nama saya telah ditanda. Ada orang yang guna kad pengenalan saya untuk buang undi,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Dia menggesa polis dan SPR segera menyiasat perkara itu.


3.15 petang: Alor Mengkudu, Kedah: Pengerusi PH Kedah Mahfuz Omar yakin PH-BN mampu menang di 17 daripada 37 kerusi DUN di negeri itu.

"Sebelum ini kami yakin (menang) 16 kerusi dan malam tadi, meningkat kepada 17. Ini bermakna kami hanya perlu dua kerusi lagi untuk dapat majoriti mudah.

"Mungkin ia sentuhan terakhir yang dibuat seperti ceramah grand finale malam tadi, di mana perdana menteri (Anwar Ibrahim) beri mesej lebih jelas kepada pengundi untuk buat keputusan," katanya.


3 petang: Peratusan pengundi keluar mengundi setakat jam dua petang, menurut SPR:

  • Kedah: 56 peratus

  • Kelantan: 45 peratus

  • Terengganu: 56 peratus

  • Pulau Pinang: 53 peratus

  • Selangor: 51 peratus

  • Negeri Sembilan: 49 peratus

  • PRK Kuala Terengganu: 52 peratus


Mahfuz tunai tanggungjawab

2.30 petang: Alor Mengkudu, Kedah - Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar mengundi di Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin.

Mahfuz yang juga pengerusi PH Kedah ditemani isteri dan dua anaknya.


Peratusan rendah: Penyokong PN diseru keluar undi

2.15 petang: Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menyeru penyokong PN untuk keluar mengundi, memetik peratusan keluar mengundi yang rendah.

“Setiap undi anda adalah penting.

"Ini bukan masanya untuk menunjukkan protes terhadap proses pilihan raya, atau cuba merosakkan undi anda, kerana kita tidak sepatutnya membiarkan keadaan semasa ini berterusan," kata Takiyuddin.

Kurang 50 peratus daripada semua pengundi yang layak di enam negeri dan parlimen Kuala Terengganu telah membuang undi setakat 1 tengah hari ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya.


Peratusan mengundi: T'ganu paling tinggi, K'tan terendah

2.00 petang: Peratusan pengundi keluar mengundi setakat jam 1:00 tengah hari, menurut SPR:

  • Kedah: 49 peratus

  • Kelantan: 40 peratus

  • Terengganu: 50 peratus

  • Pulau Pinang: 46 peratus

  • Selangor: 44 peratus

  • Negeri Sembilan: 42 peratus

  • PRK Kuala Terengganu: 47 peratus


PN tampil maskot Mickey Mouse, tarik undi

1.45 tengah hari: Hulu Kelang, Selangor - Cuaca panas terik nampaknya tidak mengganggu dua kumpulan pekerja parti PN dan PH-BN yang ditempatkan berhampiran pusat mengundi SK Hulu Kelang.

Berdiri di tepi Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang sibuk, para pekerja tidak jemu mengibarkan bendera parti masing-masing untuk merayu pengundi yang lalu-lalang untuk membuang undi.

Ini termasuk maskot Mickey Mouse yang berkempen untuk calon PN Azmin Ali, yang dilihat melakukan beberapa tarian untuk menghiburkan pengguna jalan raya.


Peratus undi di S'gor rendah: Amir rayu pengundi tunai tanggungjawab

1.30 tengah hari: Menteri besar sementara Selangor Amirudin Shari merayu rakyat Selangor untuk keluar mengundi.

Ini selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan peratusan keluar mengundi hanya 36 peratus di Selangor, setakat 12 tengah hari.

Dalam video pendek, Amirudin berkata jumlah itu kurang enam peratus daripada peratusan keluar mengundi dalam tempoh yang sama, pada pilihan raya umum tahun lepas.

“Anda ada kira-kira lima jam lagi untuk menunaikan tanggungjawab anda.

"Jadi saya seru semua untuk turun mengundi tunaikan tanggungjawab, pilih demi kestabilan dan kemakmuran negeri Selangor,” katanya.


Peratusan mengundi 12 tengah hari: Terengganu 42%, Kelantan 34%

12.30 tengah hari: Peratusan pengundi keluar mengundi setakat jam 12:00 tengah hari, menurut SPR:

Kedah: 41 peratus

Kelantan: 34 peratus

Terengganu: 42 peratus

Pulau Pinang: 38 peratus

Selangor: 36 peratus

Negeri Sembilan: 35 peratus

PRK Kuala Terengganu : 39 peratus


Pengundian digantung lepas peti undi didapati tidak dikunci

12.30 tengah hari: Paya Terubong, Pulau Pinang - Pengundian di sebuah saluran mengundi SK Sri Relau di Paya Terubong, Pulau Pinang ditangguhkan.

Ini selepas calon Perikatan Nasional bagi kerusi DUN itu, Ooi Ghee Oon, mendapati peti undi yang berkenaan tidak ditutup.

Menurut Sin Chew Daily, Ooi menemui kotak yang tidak berkunci itu, dengan 177 kertas undi sudah dibuang, dan meminta pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya menangguhkan pengundian bagi aliran itu, yang sepatutnya mempunyai 719 pengundi.

Pegawai SPR sedang menyiasat perkara itu, dan pada masa laporan ditulis, masih belum diketahui jika 177 undi yang telah dibuang akan menjadi tidak sah.


Calon PH Suka Menanti harap 60% keluar undi

12.30 tengah hari - Suka Menanti, Kedah: Calon PH Zamri Yusuf mengharapkan lebih 60 peratus peratus keluar mengundi di kawasan itu untuk menang.

Dia memberitahu Malaysiakini ketika ditemui di daerah mengundi Taman Uda yang mempunyai 2,063 pengundi berdaftar.

Bagaimanapun, dia berkata dalam tempoh empat jam yang lalu sejak permulaan pengundian, purata 50 hingga 60 pengundi telah datang untuk membuang undi.

“Saya bimbang tentang trend ini jika ia dikekalkan. Melainkan lebih ramai yang datang pada sebelah petang.

"Mungkin kerana hujan awal pagi ini," katanya.


11 pagi: Bakar Arang, Kedah - Nor Shafinaz Mohd Razi yang membuka warung di depan pusat mengundi SK SUngai Pasir, tidak menang tangan hari ini.

Mengambil peluang kedatangan pengundi hari ini, peniaga berusia 36 tahun itu berkata hari ini dia berniaga bermula jam lapan pagi hingga enam petang, berbanding hari biasa iaitu bermula jam 11 pagi hingga tiga petang.

"Selepas saya mengundi di sekolah, saya dan keluarga cepat-cepat buka kedai. Kami sibuk sejak pagi.

"Pada hari biasa, perniagaan bergantung kepada murid dan kakitangan sekolah. Tetapi hari ini kebanyakan pengundi datang beli air dan makanan selepas mengundi," katanya, yang turut dibantu ibu dan adik beradik lain.


Abang Sanusi tolak tawaran kerja demi PRN

11 pagi: Sik, Kedah - Shabudin Md Nor, abang kepada menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi, berkata dia menolak dua tawaran kerja di Arab Saudi dan Qatar demi mengundi dalam PRN kali ini.

Menurut Utusan Malaysia, Shabudin berkata dia sepatutnya bertolak ke Arab Saudi dan Qatar pada Rabu lalu.

"...tapi kerana perjuangan saya perlu tunaikan tanggungjawab saya hari ini untuk mengundi.

“Insya-Allah selepas ini saya akan terbang ke negara lain, saya tak bimbang tentang kerja kerana sekarang ini tawaran kerja sangat banyak berikutan kenaikan harga minyak dunia," kata Shabudin, 57, yang merupakan anak kedua daripada 12 adik beradik.


10.51 pagi: Peratus keluar mengundi setakat jam 10 pagi ini telah mencecah 22 peratus di Terengganu dan 20 peratus di Kedah dan Pulau Pinang.

Selangor pula dengan 19 peratus, diikuti Negeri Sembilan (18 peratus) dan Kelantan (17 peratus).

PRK Kuala Terengganu pula setakat ini mencatatkan 19 peratus.


Pengundi Gombak Setia perlu mendaki

10.50 pagi: Gombak Setia, Selangor - Para pengundi yang ditempatkan di pusat mengundi Kolej Vokasional Gombak berdepan sedikit kesukaran.

Malaysiakini mendapati mereka, termasuk warga emas dan pengundi yang membawa anak kecil, terpaksa mendaki sejauh 200 meter dari pintu utama kolej untuk ke dewan yang dijadikan tempat mengundi.

Untuk memudahkan mereka, SPR menyediakan beberapa kenderaan untuk membawa pengundi yang tidak mampu berjalan jauh, manakala sejumlah pegawai juga dilihat membantu menolak kerusi roda pengundi.

Antaranya adalah Shahrum Khalid, 44, yang berkata jarak itu menyukarkan pengundi kurang upaya, dan pada masa sama menghargai bantuan yang diberikan SPR.

"Tetapi kesian dia sebab kena tolak saya naik bukit," katanya sambil menunjukkan pegawai yang membantunya.

Pegawai tersebut bagaimanapun berkata sudah menjadi tugasnya untuk memberi bantuan.


10.35am: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan setakat jam sembilan pagi, peratus keluar mengundi bagi PRN Kedah, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan PRK Kuala Terengganu adalah 10 peratus.

Peratus keluar mengundi di Negeri Sembilan pula sembilan peratus, disusuli Kelantan dengan lapan peratus.


Anwar: Keadaan tenang di enam negeri

10:10 pagi: Permatang Pauh, Penang - Perdana menteri Anwar Ibrahim berkata, berdasarkan pemerhatiannya setakat ini, keadaan di enam negeri adalah baik dan tenang.

Ditemui di Sekolah Kebangsaan Sri Penanti, Anwar menggesa pengundi menjalankan tanggungjawab mereka hari ini.

Dia juga menggesa agar keluar mengundi awal.

"Ini adalah pilihan raya negeri, pada masa sama kerajaan persekutuan akan jalankan tugas seperti biasa bermula esok.

"Kita akan teruskan kerja dan keputusan akan menentukan kepimpinan kerajaan negeri baru," katanya.

Ditanya lokasinya pada malam ini untuk menunggu keputusan, Anwar berkata dia akan ke Cherok Tok Kun sebelum kembali ke Kuala Lumpur.

10 pagi: Derga, Kedah - Penyandang DUN Derga Tan Kok Yew tiba di SMK Sultanah Asma untuk mengundi.

Sambil berjalan, dia sempat menegur pengundi, kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya dan pegawai polis yang bertugas.

Sebelum itu, dia juga membantu para pengundi mengenal pasti saluran mengundi mereka.


9.40 pagi: Permatang Pauh, Pulau Pinang - Perdana Menteri Anwar Ibrahim selesai membuang undi di Sekolah Kebangsaan Sri Penanti.

Berkemeja biru, presiden PKR itu ditemani isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar dan Wan Azizah membuang undi kira-kira pada jam 9.40 pagi.

Ramai pengundi dilihat mengambil peluang itu untuk berbual dan mengambil gambar bersamanya.


9.22 pagi: Anak Bukit, Kedah - Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Dr Siti Hasmah Mohd Ali membuang undi untuk DUN Anak Bukit.

Dalam ciapan di Twitter, Mahathir berkata dia melihat masih belum ramai yang keluar mengundi pada masa ini.

"Saya harap para pengundi keluar beramai-ramai kerana pilihan raya ini penting untuk tentukan masa depan kita, hala tuju negeri dan juga negara," katanya.


Azmin: Rakyat mahu perubahan

9 pagi: Hulu Kelang, Selangor - Azmin Ali menyuarakan keyakinannya untuk menang di DUN Hulu Kelang serta PN akan merampas Selangor.

Bekas menteri besar Selangor itu berkata, sokongan yang dilihat ketika kempen "mega finale" PN semalam adalah petanda rasa tidak puas hati rakyat terhadap PH.

"Ia petunjuk rakyat mahukan perubahan sebenar, bukan saja di Selangor tetapi seluruh negara.

"Selangor sedia maju. PN ingin terus mengangkatnya, bukan dengan membuat janji kosong seperti PH, tetapi dengan melaksanakan dasar," katanya kepada pemberita di Sekolah Kebangsaan Klang Gate pagi tadi.

Dia ditemani isterinya Shamsida Taharin.


Amirudin yakin PH-BN kekal sebagai kerajaan Selangor

9 pagi: Selayang, Selangor - Menteri besar sementara Selangor Amirudin Shari yakin PH-BN akan kekal mentadbir negeri itu.

Amirudin menyuarakan keyakinan itu ketika ditemui pemberita selepas selesai membuang undi di SJKT Selayang Baru bersama-sama isterinya, Masdiana Muhamad.

Dia juga berharap ada peningkatan dalam undi Melayu untuk PH-BN.

"Saya 70 ke 80 peratus optimis, tetapi harapnya ada peningkatan dalam undi Melayu agar kita boleh capai 40 ke 41 kerusi, iaitu lebih daripada majoriti dua pertiga.

"Kita sudah usaha (sepanjang kempen). Saya yakin pengundi bukan Melayu juga akan keluar mengundi," katanya.

Untuk mengelakkan kesesakan, Amirudin dan isterinya hadir ke pusat mengundi dengan menaiki motosikal, yang menurutnya akan memudahkan perjalanannya untuk melawat pusat mengundi di DUN Sungai Tua nanti.


Azwan: Saya tak undi Azmin

8.30am: Hulu Kelang, Selangor - Selepas membuang undinya, Azwan Ali memberitahu pemberita yang dia tidak mengundi abangnya, Azmin.

"(Undi saya) bukan untuk darah daging ya. Undi adik-beradik? No," katanya.

Azwan berkata dia cuba untuk berdamai dengan Azmin tetapi usahanya tidak diendahkan, jadi hari ini dia ingin "ajar" abangnya itu.

Dia juga berkata undinya untuk calon yang mampu menjadi pemimpin yang baik.


Empat beradik pengundi paling awal di SK Taman Desa 2

8.30 pagi: Rawang, Selangor - Sekumpulan empat beradik menjadi pengundi pertama di SK Taman Desa 2 di Bandar Country Homes hari ini, selepas tiba di situ pada jam 6.30 pagi.

Mereka - Siti Nur Aleya Shafiqah Ridzuan, 25, Mohd Rasydan Raziq, 23, Mohd Danial Iqbal, 21, and Siti Nur Alyssa Nabila, 18 - berkata bersemangat untuk membuang undi hari ini bagi menunjukkan golongan muda juga memandang proses demokrasi itu sebagai perkara yang penting.

"Ini kali pertama adik kami, Alyssa mengundi. Jadi kami nak proses mengundinya berjalan lancar.

"Kami juga ingin tunjukkan yang orang muda sedar kepentingan mengundi. Sebab itu kami sampai jam 6.30 pagi," kata kakak sulung, Aleya.


8.30 pagi - Panchor, Pengkalan Chepa - Timbalan menteri besar sementara Kelantan Mohd Amar Abdullah selesai membuang undi di saluran dua pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Panji, Kota Bharu.

Naib presiden PAS itu hadir berbaju batik hijau dan ditemani isterinya Hasmani Hussain.

Mohd Amar berdepan calon PH Syed Mohd Alidustur Syed Mohd Zain untuk mempertahankan kerusi DUN Panchor yang dimenanginya sejak 2004.


8.15 pagi - Panchor, Pengkalan Chepa - Seorang pemuda kurang upaya (OKU) Zikrillah Zairul Akmar, 20, antara pengundi paling awal di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Panji di Kota Bharu.

Pemuda yang mengalami kecacatan bahagian lutut itu tetap bersemangat untuk mengundi selepas kali pertama berbuat demikian pada PRU15 lalu.

Dia ditemani ibunya Anne Suhaida Abdul Rashid, 50.


8:15 pagi: Hulu Kelang, Selangor - Selebriti Azwan Ali dilihat menunggu di luar pusat mengundi SK Klang Gate, di mana abangnya Azmin Ali akan membuang undi.

Hubungan dua beradik ini sering bergolak, dan Azwan pernah bertanding melawan Azmin di DUN Bukit Antarabangsa pada 2018.

Dalam PRN ini, Azmin bertanding di DUN Hulu Kelang yang dilihat lebih selamat untuknya, selepas tewas di Parlimen Gombak pada PRU lalu.


8 pagi: Para pengundi PRN di enam negeri serta PRK Kuala Terengganu akan membuang undi bermula jam lapan pagi hingga enam petang ini.

PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Penang, Kedah, Terengganu dan Kelantan ini adalah ujian litmus pertama Anwar Ibrahim sejak menjadi perdana menteri lapan bulan lalu.

Pesaingnya dari PN menyifatkan PRN ini sebagai referendum terhadap kepimpinannya dan kerajaan gabungan PH-BN, dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa keputusannya boleh membawa perubahan di peringkat pusat.

PN mengharapkan "Gelombang Hijau" kekal berterusan. Pada PRU lalu, dengan majoriti sokongan daripada pengundi Melayu-Islam, ia telah membawa kemenangan di 73 kerusi Parlimen dan memaksa PH dan BN membentuk gabungan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS