Paling Popular
Terkini

PULASAN | Bukan calang-calang juga rupanya Saujana Utama pada malam itu. Asalnya ketika waktu sudah semakin larut, yang berucap sekadar seorang setiausaha politik perdana menteri.

Untuk meraikan tetamu yang bertandang ke kawasan perumahan kami, ramai jugalah yang sabar melayan 'hasutan' pegawai Anwar Ibrahim itu. Kemudian datanglah giliran entah siapa-siapa lagi.

Semasa itulah tiba-tiba ada sekumpulan orang datang dari hujung jalan menuju ke pentas ceramah. Di kiri dan kanan laluan kecil itu memang sudah berkibar bendera merah dan biru. Di bontot puluhan motosikal pula sudah terpacak puluhan bendera merah.

"Mengumumkan ketibaan timbalan menteri kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan," kata lelaki yang sejak awal kelihatan bergelut juga untuk mengekalkan minat hadirin mendengar kata-katanya.

Silap penganjur dan penceramah pada malam itu ialah, mereka sekadar mengingatkan Ahmad yang berprofil tinggi itu hanya sebagai seorang timbalan menteri.

Timbalan menteri itu kedudukannya bukan anggota kabinet pun.

Ahmad lebih besar daripada sekadar timbalan menteri. Dia seorang bekas setiausaha agung sebuah parti yang memiliki sejarah panjang. Ada banyak kisah hitam dan putihnya dalam lembaran politik negara.

Seorang bekas setiausaha agung Umno hadir ke tempat kempen calon PH, disambut dengan hangat dan - semasa diberikan ruang pentas untuk berceramah - menunjukkan realiti sebuah kawasan dewan undangan negeri (DUN).

Namun yang lebih menarik ialah pintarnya Ahmad mengadun suasana dan kata-kata untuk mengajak penduduk di sekitar Saujana Utama agar memberikan undi mereka kepada Khairuddin Othman.

Sambil memberikan ucapan Ahmad juga melontarkan beberapa rangkap pantun. Ada antara rangkap yang dibacakan ahli parlimen Pontian itu asalnya merupakan 'bisa' yang menyakitkan PH sebelum ini.

Tetapi Ahmad seorang pemimpin yang pandai. Daripada pantun yang menghiris tajam, dia mengolahnya dengan bergaya serta bersahaja sehingga menjadi penawar yang mendamaikan.

Misalnya Ahmad memancing rasa ghairah para hadirin penyokong PH-BN dengan pantun.

Sudah kamceng

Memulakan ucapannya, Ahmad mengakui kebanyakan pemimpin PH yang ada di depannya ketika itu adalah bekas lawannya tetapi kini sudah menjadi kawan.

Semasa menjadi lawan dulu, kata Ahmad, dia berpantun: Jika tuan pergi memancing, jangan lupa membawa umpan; jika tak mahu kena 'itu', maka jangan sokong parti 'itu'.

Kata-kata tersebut disambut dengan ketawa semua orang yang mendengarnya.

"Saya tak nak sebutlah kisah lama itu kerana kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang benar-benar membawa harapan serta perpaduan untuk rakyat Malaysia.

"Kerana itu saya ada pantun baru:

"Jika tuan pergi memancing,
Jangan lupa membawa umpan;
Kita semua sudah kamceng,
Demi generasi masa hadapan."

Sementara itu di sebuah lokasi ceramah kelompok lain seorang anak muda lulusan kejuruteraan komunikasi tekun memahamkan rakyat Selangor mengenai kekuatan yang ada pada BN dan PH.

Ia adalah suatu sumber kuasa besar yang pernah berlainan entiti dan kini sedang melalui proses evolusi untuk berjalan seiringan demi memastikan wujud kestabilan politik dalam negara.

Di dalam kawasan DUN Seri Serdang pula, seorang ulama muda yang pernah menjadi ahli PAS sebelum 'bermufaraqah' untuk bersama PH kelihatan yakin mengajak pengundi menghargai Umno.

Dakwa-dakwi media sosial

Antara lain dia mengajak pengundi di kawasan itu mengingati bagaimana Umno berjasa kepada Islam dan orang Melayu.

Disebutkannya pelbagai contoh langkah berwawasan Umno-BN untuk rakyat di negara ini, khususnya suatu bangsa yang mudah dimomok-momokkan dengan kisah aneh atau pelik.

Bangsa itu juga mudah sangat dibuat perasaannya, sama ada dengan kisah-kisah ajaib atau suara serak-serak yang sayu seakan-anak merintih menangis, atau ucapan-ucapan berapi yang tidak berisi.

Bangsa berkenaan juga amat mudah dihanyutkan dengan dakwa-dakwi yang bertebaran di media sosial.

Itulah 'indahnya' suasana berkempen sempena pilihan raya negeri yang sedang memuncak sekarang. Ketika tempoh mengundi semakin hampir setiap parti yang bertanding menggiatkan lagi usaha mereka menarik seramai mungkin penyokong.

Di sebalik sengitnya persaingan itu, entah berapa orang yang sedar bahawa di pentas-pentas ceramah ada damai yang sedang dipromosikan, ada luka sedang disembuhkan, ada kebencian sedang ditumpulkan.

Ia menjadi menarik kerana semua proses itu dilakukan dengan berhati-hati. Semua pihak mengakui mengalami luka-luka yang dalam oleh kata-kata yang tajam. Sesetengahnya sudah berparut, manakala sebahagian lagi dalam proses membaik.

Pertembungan yang tajam selama puluhan tahun sudah mengorbankan banyak jiwa. Kini masa untuk merawat luka dan duka itu.

Proses tersebut berlangsung tanpa dirancang lebih awal. Ia juga kelihatan tidak dipaksa-paksakan, misalnya dengan juraian air mata para penyokong atau 'memfitnah' para malaikat di langit.

"Dia ni sebenarnya OK je kan, bang?" kata seorang pegawai calon semasa mendengar Ahmad berpantun, "cuma sebelum ni cara dia menampilkan diri dia saja buat orang salah faham."

Kami sama-sama ketawa. Di bawah khemah utama, di tepi longkang, di tepi jalan, di kaki lima dewan dan sekitar tempat ceramah juga sedang ketawa.

Sudah tentu mereka ketawa kerana jenaka bekas setiausaha agung Umno itu.

Hanya kira-kira 100 meter dari situ terletak bilik gerakan PAS-PN. Khabarnya calon mereka untuk DUN Paya Jaras juga dipersiapkan untuk misi yang besar jika mereka berjaya menguasai Selangor.

Mungkin sejenis langkah juga, meskipun agak jauh dari Hulu Kelang.

DUN Paya Jaras itu sendiri pernah mencatat luka pada beberapa sisinya. Pada 2018 penyandang kerusi tersebut meninggalkan PAS namun tidak memilih Amanah, sebaliknya PKR. Dia disambut meriah oleh para pemimpin PKR.

Tetapi ia adalah kisah silam dan perlu dibiarkan mengabur dengan sendiri kerana di depan sana ada misi yang lebih penting, iaitu saling merawat luka pada tubuh rakan masing-masing.

Tidak ada jaminan ia akan sembuh sepenuhnya, tetapi andai ia gagal, setiap pihak sekurang-kurangnya boleh mengelakkan rasa terkilan kerana sudah mencuba.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang pernah sekali merasa mengundi di Pasir Salak.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS