Polis memburu seorang lelaki warga India kerana dipercayai terlibat dalam kes gangguan seksual ke atas seorang wanita di sebuah kedai gunting rambut di Manjoi di Ipoh, seperti yang tular di laman sosial semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata pihaknya terkesan satu isu tular di laman sosial mengenai satu kes gangguan seksual dikongsi pemilik akaun Facebook bernama 'Siti Hajar Ghazali' yang mendapat perhatian umum.
“Polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang wanita berusia 37 tahun mendakwa diganggu secara seksual oleh lelaki terbabit yang sedang menggunting rambut anak lelakinya dalam kejadian kira-kira 1.25 tengah hari, Selasa lepas.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955," katanya dalam kenyataan hari ini.
Yahaya berkata berdasarkan laporan polis dibuat di Balai Polis Jelapang, wanita itu mendakwa suspek cuba mengajaknya berbual dalam Bahasa Melayu namun mangsa tidak mengendahkannya sebelum suspek dikatakan bercakap seorang diri dan mengeluarkan kata-kata lucah.
Menurutnya, suspek dipercayai telah melarikan diri selepas kejadian berkenaan.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan D11, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, ASP Yap Siew Cheng di talian 012-9093362," katanya.
- Bernama