Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siasatan 1MDB diklasifikasi NFA oleh AG walaupun BNM ada bukti - Zeti

BICARA 1MDB l Bekas peguam negara (AG) Mohamed Apandi Ali menolak syor Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memulakan pendakwaan jenayah ke atas pegawai kanan 1MDB, kata bekas gabenor bank pusat itu Zeti Akhtar Aziz.

Saksi pendakwaan ke-46 memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa BNM telah mengemukakan kepada Apandi ketika itu pada 2015 berhubung bukti dakwaan salah laku di 1MDB, hasil siasatan daripada pasukan petugas khas.

Semasa perbicaraan kes rasuah RM2.28 bilion 1MDB hari ini terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, dia berkata pasukan petugas itu ketika itu terdiri daripada wakil Jabatan Peguam Negara (AGC), BNM, SPRM, dan polis yang ditubuhkan untuk meneliti beberapa penyelewengan di firma pelaburan negara.

Antara penyelewengan berkenaan adalah pengalihan dana AS$700 juta - bertujuan untuk usaha sama antara 1MDB dan Petrosaudi International Limited - kepada Good Star Limited yang diperbadankan di Seychelles, sebuah entiti yang dikaitkan dengan ahli perniagaan yang kini menjadi buruan Low Taek Jho (Jho Low).

Menurut Zeti, pasukan petugas itu yang diketuai oleh AG ketika itu, Gani Patail kemudiannya telah ditamatkan dan perkhidmatannya berakhir, dengan peranan AG seterusnya diambil alih oleh Apandi.

Dia berkata pada 13 Ogos 2015, BNM menyerahkan Kertas Siasatan (IP) kepada AGC dengan syor untuk memulakan pendakwaan jenayah dan mendakwa 1MDB termasuk pegawai kanan firma itu.

Pasukan Petugas Khas 1MDB

Zeti ketika membacakan pernyataan saksinya, berkata 1MDB dan pegawainya didapati melanggar peruntukan di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (ECA) kerana memberikan maklumat palsu kepada BNM dalam permohonannya bagi kebenaran membuat pembayaran di luar negara.

Mengenai akaun bank Najib dan transaksinya, Zeti berkata, BNM telah memberikan semua maklumat yang berkaitan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang.

"Di sebalik semua bukti yang dikumpul dan direkodkan oleh BNM dalam IP (mengenai 1MDB) yang dikemukakan, AGC ketika itu, atas sebab yang tidak diketahui, pada 11 Sept 2015 memutuskan bahawa IP yang dikemukakan oleh BNM diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

“Sebagai maklum balas, BNM menulis semula kepada AGC pada 1 Okt 2015 untuk mempertimbangkan semula keputusan itu dan seterusnya menekankan mengenai peninggalan maklumat penting oleh 1MDB dalam permohonannya untuk kebenaran pentadbiran pertukaran asing (FEA).

"1MDB bukan sahaja gagal memberikan maklumat penuh dan lengkap dalam permohonannya untuk kebenaran FEA tetapi telah memberikan maklumat palsu. AGC bagaimanapun tidak menjawab rayuan BNM," kata Zeti kepada hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah.

Dia berkata pada 14 Ogos 2015, mengikut peruntukan BNM, bank pusat itu terus membatalkan tiga kebenaran yang diberikan kepada 1MDB dan mengeluarkan arahan kepada 1MDB untuk menghantar balik ke Malaysia semua dana yang disalur secara haram dan palsu ke luar negara.

Dia berkata kenyataan akhbar telah dikeluarkan berhubung tindakan yang diambil oleh BNM pada 9 Okt 2015.

Zeti berkata, ketidakupayaan 1MDB seterusnya membawa pulang wang itu dan memberikan bukti mengenai status dana, mengakibatkan kompaun dikenakan ke atas firma tersebut.

Menurutnya dengan perjanjian yang perlu diperoleh daripada AGC, kompaun berjumlah RM15 juta telah dikenakan dan dibayar oleh 1MDB pada 25 Mei 2016.

Siasatan BNM ke atas kes ini adalah bertujuan untuk membawa ke muka pengadilan pelanggaran undang-undang oleh 1MDB berhubung kiriman wang mereka ke luar negara sepanjang tempoh September 2009 dan Mei 2011, dan untuk memelihara integriti fungsi sistem kewangan negara.

Sebelum ini pada Januari 2016, AG ketika itu, Apandi telah membersihkan Najib, daripada sebarang salah laku, antara lain berhubung aliran masuk RM42 juta dana SRC ke akaun bank Najib.

Bekas perdana menteri itu dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion daripada 1MDB, sebuah dana kekayaan negara yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS