Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kabinet setuju secara prinsip semak Akta Hasutan - Azalina
Diterbitkan:  Jul 25, 2023 6:18 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

Jemaah menteri bersetuju secara prinsip supaya Akta Hasutan 1948 disemak bagi memastikan undang-undang itu digunakan hanya untuk melindungi institusi raja-raja daripada sebarang provokasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, berkata keputusan itu diambil selepas dia membentangkan hasil dialog perundangan 3R (Agama, raja dan kaum) yang diadakan baru-baru ini.

"Aspek lain berkenaan provokasi yang melibatkan agama dan bangsa akan diteliti termasuk penggubalan perundangan baharu jika perlu mengenai keharmonian dan perpaduan Negara dengan mengambil kira pandangan Institusi Raja-Raja sebagai ketua agama Islam, dan amalan serta prinsip terbaik antarabangsa.

"Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) akan mengambil langkah yang sewajarnya dalam menyemak secara terperinci Akta Hasutan 1948 dan memastikan cadangan pindaan yang bakal dicadangkan adalah benar-benar bertujuan untuk melindungi Institusi Raja-Raja secara holistik," kata Azalina.

Sesi dialog 3R berkenan diadakan pada Jumaat lalu di Kuala Lumpur.

Dialog itu dihadiri lebih 50 wakil daripada Kementerian dan Jabatan Persekutuan termasuk Kementerian Perpaduan Negara, Badan-Badan Peguam, Pertubuhan Masyarakat Madani (CSO), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan ahli-ahli Akademik.

Tiga isu utama yang dibincangkan dalam sesi itu ialah apakah Malaysia perlu memansuhkan undang-undang sedia ada dan menggubal Akta baru; meminda undang-undang tertentu; atau mengekalkan status quo.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS