Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Jadi kewajipan Azmin beri Selangor pada PN

Perikatan Nasional (PN) meletakkan harapan besar kepada pengerusi negeri Mohamed Azmin Ali untuk memberikan “hadiah” kemenangan kepada gabungan itu dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata meskipun parti mereka adalah “parti miskin”, gerak kerja mereka akan memastikan kemenangan buat gabungan itu.

“Parti kita adalah parti miskin, tapi gerak kerja kita adalah strategi untuk menang.

“Menjadi kewajipan untuk Azmin memberikan Selangor kepada kita,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera Pemuda PN, Shah Alam, lewat petang tadi.

Untuk rekod, pada 21 Mei lalu Azmin berkata dia tidak akan bertanding pada PRN kerana ingin berehat.

Bagaimanapun, Muhyiddin hari ini berkata Azmin belum diumumkan untuk bertanding DUN Selangor pada PRN akan datang.

"Dia belum umum tanding ke tak tanding," katanya.

Azmin pernah menjadi menteri besar Selangor bagi kerajaan Pakatan Harapan (PH) antara Sept 2014 sehingga 19 Jun 2018.

Dia yang pernah menjadi timbalan presiden PKR kemudian melepaskan jawatan tersebut untuk menyertai kabinet Dr Mahathir Mohamad.

Azmin kemudian mengetuai sekumpulan ahli parlimen PKR untuk berpaling tadah meninggalkan PH dalam Langkah Sheraton yang menyaksikan jatuhnya kerajaan 22 bulan PH.

Dia kemudian dilantik menjadi menteri kanan dalam kabinet Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

Azmin tewas di kerusi parlimen Gombak dalam PRU ke-15 pada Nov tahun lalu kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Azmin bagaimanapun masih menjadi Adun Bukit Antarabangsa.

Tewaskan PH di benteng kebanggaan

Sementara itu, di pentas yang sama Ketua Pemuda PN merangkap Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari turut menyatakan harapan yang sama agar Azmin berbuat demikian.

“Pemuda PN akan memberikan fokus terbesar kepada Selangor, takkanlah bekas menteri besar Selangor dan Pengerusi BN Selangor tak boleh tolong hadiahkan Selangor kepada kita,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli yang juga ahli parlimen Pasir Mas menyeru pemuda gabungan parti itu merampas Selangor dengan menumbangkan PH dan BN walaupun dianggap sesetengah pihak sebagai misi mustahil.

Ahmad Fadhli berkata bagi perjuangan PN, misi itu tidak dianggap sebagai misi mustahil.

"Tugas menawan Selangor bukan tugas mudah.

"Selangor merupakan benteng pertahanan terakhir mereka. Selangor merupakan benteng kebanggaan mereka. Kita robohkan benteng ini untuk menuju ke Shah Alam (tubuhkan kerajaan negeri),” katanya.

Fadhli berkata dia juga yakin PN akan mempertahankan kerajaan negeri Kedah, Terengganu dan Kelantan dengan kemenangan bergaya.

Oleh itu dia menyeru pemuda PN untuk bekerja keras dalam membantu kemenangan PN di PRN enam negeri.

"Dua minggu dari sekarang, akan masuk zon perang... anak muda (PN) jangan tidur malam. Kerja untuk kemenangan PN," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS